Rabu, 11 Julai 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bangun kembali Plaza Putra

Posted: 10 Jul 2012 02:54 PM PDT

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 10 tahun terbiar, Plaza Putra di bawah Dataran Merdeka yang ditenggelami air pada 2003 kini ibarat kembali bernafas dengan beberapa kedai sudah mula beroperasi.

Kawasan berkenaan masih lengang seperti sebelum insiden banjir itu namun pengubahsuaian di situ memberi pemandangan selesa di kalangan pengunjung.


Malah, harapan beberapa peniaga untuk melihat kawasan berkenaan meriah mungkin dapat direalisasikan dengan promosi sempurna memandangkan Dataran Merdeka terkenal sebagai lokasi ikonik sejarah Malaysia dan menjadi tumpuan pelancong sejak sekian lama.

Peniaga, Henry, 39, berkata, meskipun pengubahsuaian yang dikendalikan sebuah syarikat swasta belum siap sepenuhnya, dia yakin lokasi strategik itu mampu dibangunkan kembali jika promosi dilakukan lebih agresif oleh pihak berkaitan.


Katanya, sejak kedai minumannya dibuka empat bulan lalu, rata-rata pelanggan terdiri daripada kenalannya.


"Kami harap perniagaan ini berkekalan dan tidak takut untuk berniaga di sini kerana saya difahamkan syarikat yang mengendalikan kawasan ini kini terlebih dulu membina terowong sempurna bagi mengelakkan banjir.

"Dari segi keselamatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerap melakukan rondaan di sini khususnya di kawasan tempat letak kereta menjadikan peniaga dan pengunjung berasa lebih terjamin," katanya.


Bagi Christopher, 47, yang turut mengendalikan kedai itu berkata, perniagaan mereka banyak bergantung kepada pihak luar yang menganjurkan aktiviti di situ antaranya pameran, sukan dalaman serta jamuan.

"Kami buka kedai setiap hari dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam namun jika ada acara tertentu di Dataran Merdeka, kedai dibuka lebih awal dan mungkin ditutup lambat," katanya.


Ketika ditanya mengenai kewujudan jenayah, dia berkata, setakat ini ia tidak berlaku dan berharap situasi itu berkekalan menerusi pemantauan berkala daripada pihak berkuasa.


Plaza Rakyat sebelum ini meriah dengan premis perniagaan seperti restoran, kedai cenderamata, kedai jahit serta pawagam namun mulai ditutup pada Jun 2003 selepas dinaiki air akibat hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/11


Mahkamah bebas 2 bekas ahli lembaga pengarah

Posted: 10 Jul 2012 02:51 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dua bekas ahli lembaga pengarah koperasi dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen di sini, semalam daripada tiga tuduhan mengikut Akta Koperasi 1993, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu terhadap Md Sarip Salleh, 51 dan Lee Wei Onn, 45, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.


Berdasarkan tuduhan pertama, mereka didakwa menerima pinjaman RM500,000 sedangkan Koperasi Pelaburan Hartanah Berhad (Kopraha) belum didaftarkan secara sah antara 5 April 2008 dan 23 Mei 2008.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 10A (1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 10A (2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Bagi tuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa tidak berhemat menjalankan hal ehwal pelaburan Units@Neocyber dan Gold Members, sekali gus menyebabkan kerugian kepada Kopraha, antara 13 Ogos 2008 dan 30 Mac 2009.


Pendakwaan terhadap kedua-dua tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 45 (1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 45 (4) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM200,000 jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/11


Tiada ulasan:

Catat Ulasan