Isnin, 9 Julai 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


200 luah kecewa

Posted: 08 Jul 2012 02:43 PM PDT

SHAH ALAM: Kira-kira 200 penduduk Jalan Plumbum 101 dan 103, Seksyen 7, di sini, berkumpul bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang masih tidak menyelesaikan masalah tanah mendap di rumah mereka.

Lebih mengecewakan penduduk, pihak PCM Bina Sdn Bhd selaku kontraktor membina rumah berkenaan juga tidak mahu bertanggungjawab.


Ahli jawatankuasa penduduk, Zain Wahinuddin Idris berkata, selepas 18 bulan tempoh jaminan diberikan pemaju, kecacatan pada struktur rumah akibat kejadian tanah mendap masih berulang, malah bertambah teruk dan serius.

Katanya, disebabkan kegagalan pemaju menangani masalah terbabit, penduduk dan pembeli mengadukan masalah itu kepada PKNS namun tiada tindakan diambil sehingga kini.


Zain berkata, sebaik berpindah masuk, pembeli mendapati terdapat kerosakan pada struktur bangunan seperti lantai pecah dan mendap, retakan serius pada dinding, pintu pagar condong dan tidak boleh ditutup, tembok pagar mendap dan condong, lantai bilik air bocor, sistem paip kumbahan bocor, serta longkang utama belakang retak.


"Kami sudah membuat aduan secara berterusan kepada PCM Bina dan mereka sudah membaiki kerosakan serta-merta.

"Namun, selepas 18 bulan tempoh jaminan Tempoh Kecacatan Bangunan tamat, pihak PCM Bina tidak mahu bertanggungjawab. Disebabkan itu, sejak 2008 lalu, kami membuat aduan terus kepada pihak PKNS, tapi masih tiada tindakan selanjutnya diambil mereka," katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, kejadian bertambah buruk apabila lantai beberapa rumah mendap seterusnya runtuh pada 13 Februari lalu yang boleh membahayakan penduduk.

"Pada awalnya PKNS mengambil tindakan seperti melantik kontraktor dan perunding geo-teknik serta struktur bagi menjalankan kerja penyelidikan terhadap tanah di kawasan perumahan ini, membaiki lantai yang rosak selain pasang penyokong untuk menahan kerosakan struktur 'beam' yang sudah patah dan melengkung.


"Namun, selepas 145 hari dari tarikh kejadian, kami mendapati PKNS masih gagal menangani masalah ini secara menyeluruh. Mereka gagal mengemukakan laporan perunding yang dijanjikan pada 18 April lalu kerana kami rasa penduduk perlu tahu isi kandungan laporan bagi mendapat jaminan keselamatan untuk menduduki kawasan ini.


"Lebih malang apabila PKNS juga mengabaikan tanggungjawab untuk membantu dua pembeli yang sudah mengosong dan menyewa rumah lain. Tiada usaha untuk membantu mengurangkan kesukaran dialami penduduk," katanya.


Katanya, ekoran itu beberapa siri mesyuarat berkaitan yang dipengerusikan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, tetapi masih gagal menangani masalah berkenaan.


Beliau berkata, Datuk Bandar sudah memajukan masalah terbabit kepada Exco Selangor dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 15 Jun lalu yang mengarahkan kerja baik pulih segala kerosakan dijalankan dalam masa dua minggu, namun selepas sebulan berlalu masih tiada tindakan daripada pihak PKNS.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/09


Baik pulih Ogos

Posted: 08 Jul 2012 02:40 PM PDT

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kecewa dengan tindakan sebahagian penduduk di Jalan Plumbum yang mengadakan demonstrasi aman berhubung masalah tanah mendap di kawasan perumahan itu memandangkan PKNS komited dalam mengatasi masalah berkenaan.

Pengurus Perkhidmatan Pelanggan PKNS, Mohd Wazir Abdul Gani berkata, pihaknya sudah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah terbabit sejak perkara itu dibangkitkan Februari lalu.


Katanya, PKNS menerusi syarikat PCM Bina Sdn Bhd selaku pemaju sudah melantik jururunding tanah bagi menyiasat dan mengkaji struktur tanah selain mengadakan perjumpaan dengan penduduk untuk menjelaskan hasil daripada siasatan itu.

"Kami sudah serah permohonan untuk pelan kerja baik pulih infrastruktur kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 3 Julai lalu dan mereka memberikan kata jawapan dua hari kemudian.


"Berkenaan pemasangan alat, ia sudah dilakukan pada 7 Julai di dua rumah yang memberi persetujuan sebelum kerja baik pulih ini dijalankan. Baik pulih ini membabitkan ruang belakang rumah dan sistem paip pembentungan yang dilakukan sebulan selepas itu," katanya.


Menurut Mohd Wazir, kerja baik pulih dijadualkan bermula bulan depan berikutan tempoh sebulan itu diperlukan bagi mengelakkan berlaku gangguan kepada bacaan pergerakan struktur bangunan dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/09


Tiada ulasan:

Catat Ulasan