Jumaat, 27 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis tahan dua lelaki, tumpas sindiket curi kenderaan mewah

Posted: 27 Jul 2012 02:24 AM PDT

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan dan menemui semula lima kereta mewah bernilai lebih setengah juta ringgit yang dicuri dalam tangkapan di Puchong dan Seremban, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras, Mohan Singh Tara Singh berkata suspek yang tidak bekerja itu ditahan kira-kira 4 petang pada 17 dan 18 Julai oleh pasukan khas curi kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata susulan penahanan lelaki itu, polis berjaya menemui semula dua buah Toyota Hilux dan serta sebuah Toyota Fortuner, Toyota Alphard dan Toyota Wish, disyaki dicuri di Damansara, USJ, Kajang, Cheras dan Jalan Campbell, Seremban.

"Suspek pertama berusia 45 tahun dari Kuala Lumpur, ditahan pada Selasa lepas di Bandar Kinrara, Puchong kerana disyaki terlibat dengan beberpa kes kecurian kereta mewah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Mohan Singh berkata siasatan ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang lagi rakannya yang berusia 28 tahun, yang dipercayai turut terlibat dalam kes berkenaan sehari selepas itu di rumahnya di Seremban.


"Sindiket ini sangat licik kerana mampu mengubah suai alat kawalan jauh untuk 'mengganggu' sistem penggera kereta, sekaligus menyebabkan frekuensi panggera kereta tersebut lumpuh, menjadikan kereta itu tidak berkunci biarpun pemiliknya telah menekan kunci kawalan jauh," katanya.

Beliau berkata walaupun pihaknya percaya tangkapan ke atas dua-dua suspek berkenaan berjaya menyelesaikan 21 kes curi kenderaan, tetapi polis masih meneruskan siasatan dan pemburuan ke atas mereka yang dikaitkan dengan sindiket tersebut.

Polis juga masih menyiasat motif sindiket itu sama ada kereta mewah yang dicuri itu akan dijual ke luar negara atau sebaliknya, kata beliau.

Mohan Singh berkata tangkapan ke atas suspek di Seremban turut membawa kepada penemuan 33 keping cukai jalan palsu, dipercayai digunakan untuk melarikan kereta yang dicuri dan polis sedang mengenal pasti dalang yang membekalkan cukai jalan itu.

Katanya selain itu beberapa barang lain turut dirampas daripada kedua-dua suspek, iaitu sekotak spanar pelbagai saiz, 'allen key', pisau, mesin gerudi, enam alat kawalan enjin jenis Toyota Denso, satu set alat khas memprogram kunci kereta, empat 'smart tag' dan dua kad 'Touch'n Go'.

"Tahanan reman ke atas kedua-dua suspek yang berakhir hari ini akan disambung ke satu tarikh baru untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A, 411 dan 414 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/27


Dua beradik tiri didakwa bunuh ibu tiri

Posted: 27 Jul 2012 02:19 AM PDT

KLANG: Seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dan kakak tirinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu tiri mereka dengan cara menekup muka mangsa menggunakan bantal.

Pelajar terbabit dan kakak tirinya yang berumur 29 tahun didakwa membunuh wanita berumur 72 tahun itu, yang juga seorang guru agama, di ruang tamu sebuah rumah di Taman Sri Wangi, Kapar di sini kira-kira 5.30 petang 14 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dua beradik yang memakai pakaian reman berwarna ungu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah.


Tiada pengakuan direkodkan.


Sepanjang prosiding, pelajar perempuan itu dilihat mengalirkan air mata sementara kakak tirinya yang bekerja di sebuah kelab malam kelihatan tenang.

Majistret Ho Kwong Chin menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin sementara kedua-dua beradik itu diwakili peguam Gerard Lazarus.

Difahamkan sebelum ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, tiga hari selepas mangsa dikebumikan, beberapa anggota keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangan barang kemas mangsa.

Ekoran laporan itu, membawa kepada penggalian semula kubur mangsa dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/27


Tiada ulasan:

Catat Ulasan