Jumaat, 27 Julai 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Mohon maaf selepas lari

Posted: 26 Jul 2012 10:50 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya mohon maaf dan berterima kasih kepada puan sekeluarga," itu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) seorang pembantu rumah kepada majikannya sebaik menghilangkan diri di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Ahad lalu.

Pembantu rumah warga Filipina berkenaan dikatakan menghilangkan diri kira-kira jam 5 petang ketika majikannya sibuk mencari barangan di pusat beli-belah berkenaan.


Majikan mangsa, Ong Beng Tuck, 33, berkata, sebaik menerima kiriman SMS itu, dia mengesyaki pembantu rumahnya itu sengaja berbuat demikian dan berniat melarikan diri.

"Kami cuba mencari wanita itu di dalam pusat beli-belah berkenaan selain kawasan sekitar kerana menyangkakan dia mungkin sesat dan hilang arah kerana keadaan ketika itu sesak," katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Biro Aduan MCA di sini, semalam.


Bagaimanapun, katanya, selepas gagal menemui wanita itu, mereka membuat keputusan untuk pulang ke rumah sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kajang.


Katanya, sebelum menghilangkan diri, wanita itu meminta kebenaran untuk pergi ke tandas dan tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan.

Dia yang bertugas sebagai doktor gigi di Kajang berkata, mereka mengambil wanita berusia 33 tahun itu bekerja sejak April lalu dengan bayaran RM9,200.


"Wanita itu mula bekerja dengan kami mulai 14 April lalu dan jumlah bayaran itu termasuk yuran agensi pembantu rumah itu bersama enam bulan gaji," katanya.

Katanya, selain terpaksa menanggung kerugian akibat kehilangan wanita itu, dia juga bimbang timbul pelbagai masalah ekoran pasport wanita itu masih berada dalam simpanannya.


"Saya bimbang jika berlaku apa-apa perkara terhadap wanita itu, kami sekeluarga akan dipertanggungjawabkan kerana masih memegang dokumen miliknya," katanya.


Menurutnya, dia sendiri tidak tahu punca wanita berkenaan melarikan diri kerana sepanjang bekerja tiada sebarang masalah timbul.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/27


12 ditahan main judi online

Posted: 26 Jul 2012 10:48 AM PDT

GOMBAK: Bagaikan tidak menghormati Ramadan, apabila 12 kaki judi sanggup melepaskan gian bermain judi online di sebuah kafe di Taman Jati Rawang, dekat sini malam kelmarin.

Semua mereka ditahan dalam satu serbuan dijalankan Bahagian Urus setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor diketuai Asisten Superintendan Emmi Shah Fadhil.


Emmi Shah berkata, serbuan kira-kira jam 11 malam itu menahan 12 lelaki dan lima daripadanya beragama Islam berusia 15 hingga 52 tahun yang sedang leka bermain judi selain turut merampas 25 komputer.

Menurutnya, remaja lelaki berusia 15 tahun yang ditahan pada mulanya tidak mengaku terbabit dalam permainan judi itu sebaliknya memberi alasan singgah sebentar untuk membuang air kecil.


"Kami turut menahan seorang wanita warga Myanmar dipercayai penjaga premis itu. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dia pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama.


"Premis berkenaan turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan dipercayai sudah beroperasi sejak dua tahun lalu. Pemilik premis juga membenarkan sesiapa saja masuk untuk bermain judi," katanya kepada media selepas tamat operasi berkenaan, malam kelmarin.

Beliau berkata, tingkat atas premis itu yang sedang dibaiki juga dipercayai turut akan digunakan untuk menambah komputer bagi tujuan perjudian. Hasil siasatan mendapati nilai taruhan mencecah RM200,000 manakala koleksi pertaruhan sebanyak RM20,000 sehari.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/27


Tiada ulasan:

Catat Ulasan