Isnin, 9 Julai 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Pusat undi berubah automatik

Posted: 09 Jul 2012 02:13 PM PDT

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu mewujudkan sistem pangkalan data sendiri bagi menangani isu pendaftaran bertindih atau pengundi mendaftar dua kali.

Menerusi sistem baru itu, pangkalan data SPR akan dihubungkan dengan beberapa agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan kawasan mengundi dan alamat pengundi sama. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pangkalan data terbabit akan dilengkapi perisian bagi membolehkan kawasan mengundi ditukar secara automatik jika alamat pengundi terbabit dikesan sudah berubah.
Jumlah peratusan rakyat yang menetap tidak mengikut kawasan daftar mengundi sangat tinggi, sekali gus mencetuskan kontroversi pendaftaran bertindih atau pengundi mendaftar dua kali.

Ramai yang tinggal tempat lain, tetapi kawasan mengundi tempat lain. Contohnya, tinggal di Kuala Lumpur tetapi undi di Kelantan. Ketika ini, segala maklumat mengenai pengundi, kita bergantung sepenuhnya dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Jika mereka ubah alamat tempat tinggal di kad pengenalan, tetapi tidak maklumkan kepada SPR, kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana berdasarkan peruntukan undang-undang, pengundi perlu memohon kepada kita menukar alamat," katanya kepada BH.

Berikutan itu, kata Abdul Aziz, SPR sedang mengkaji untuk mewujudkan pangkalan datanya sendiri bagi penambahbaikan jangka panjang.
Usaha mewujudkan pangkalan data itu juga bertujuan menyelesaikan isu pengundi hantu seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Ketika ini, SPR menggunakan Sistem Perkongsian Maklumat Antara Agensi (Alis) dengan JPN untuk urusan pendaftaran dan semak daftar.

Abdul Aziz berkata, SPR akan menjadikan sistem yang digunakan Singapura sebagai rujukan untuk mewujudkan pangkalan data pengundi baru.

"Di Singapura, apabila pertukaran alamat pengundi dikesan oleh mana-mana pangkalan data, ia akan segera memaklumkan kepada agensi pilihan raya negara itu dan secara automatik kawasan mengundi mereka juga akan diubah," katanya.

Berani jana idea besar

Posted: 09 Jul 2012 01:46 PM PDT

Putrajaya: Penjawat awam perlu ada keberanian menjana idea besar dan bernas yang boleh dilaksana secara pantas lagi berkesan, selaras aspirasi serta harapan rakyat yang sentiasa berubah, kompleks dan pelbagai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata persekitaran hari ini jauh berbeza berbanding dulu, di mana saingan untuk sumber asli, pelaburan, tenaga kerja berkepakaran dan penguasaan pasaran teknologi kini bersifat global. "Kita (kerajaan) pula berdepan dengan rakyat yang mempunyai jangkaan dan harapan tinggi selain sikap lebih kritikal, termasuk dari segi kuantiti serta kepantasan sesuatu perkhidmatan kerajaan.
Perlu menambah baik sistem peyampaian

"Justeru, peningkatan daya saing dari dalam dan luar yang semakin tinggi jangkaan serta harapannya menjadikan kerja kita selaku anggota pentadbiran atau penjawat awam lebih mencabar.

"Sebagai kerajaan, kita tiada pilihan melainkan menambah baik kemampuan sedia ada supaya sistem penyampaian kita lebih berkesan, pantas dan sampai kepada kumpulan sasar," katanya dalam ucaptama pada majlis Dialog Perdana Perkhidmatan Awam 2012 di sini, semalam.

Najib juga mengingatkan perkhidmatan awam adalah tonggak kepada usaha memastikan kelicinan pelaksanaan dasar negara bagi mencapai matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Katanya, Malaysia boleh berbangga kerana ketika persekitaran ekonomi negara zon Eropah berada dalam keadaan tidak menentu, kesannya tidak begitu ketara di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan