Rabu, 11 Julai 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


SPR tangguh kajian persempadanan semula

Posted: 11 Jul 2012 03:09 AM PDT

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk menangguhkan urusan kajian semula persempadanan semula bagi membolehkan fokus diberi sepenuhnya kepada persediaan Pilihan Raya Umum ke-13.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya bagi seluruh Semenanjung dan Sabah sudah cukup tempoh lapan tahun pada 21 Mac 2011. "Walaupun tempoh sudah cukup, tetapi oleh kerana pilihan raya dijangka tidak lama lagi maka fokus ditumpukan kepada persediaan pilihan raya umum ke-13," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) 2012 pada Persidangan Dewan Negara hari ini.
Awang Adek berkata, urusan kajian persempadanan semula bahagian pilihan raya bagi Sarawak pula akan cukup tempoh lapan tahun pada 10 Jun 2013.

Beliau berkata, dalam urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya, SPR berpandukan kepada prinsip yang digariskan dalam Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

"Keseluruhan proses ini membabitkan semua pihak dalam memberikan pandangan dan maklum balas bagi memastikan urusan tersebut dilaksanakan secara saksama dan mengikut undang-undang," katanya.

Persidangan Dewan bersambung esok. - BERNAMA

PM hadiri jamuan rakyat di Terengganu Jumaat ini

Posted: 11 Jul 2012 02:56 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Razak akan menghadiri majlis jamuan rakyat yang disertai antara 8,000 hingga 10,000 orang di padang orang ramai Kampung Bukit Payong, Marang, sempena lawatan kerja sehari beliau ke Terengganu Jumaat ini.

"Kerajaan negeri akan memberikan sambutan meriah kepada Perdana Menteri sempena lawatan tersebut," kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mazlan Ngah.
Ahmad berkata, Najib juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 20,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dari seluruh Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini.

Ahmad berkata, Najib dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada jam 9 pagi hari berkenaan dan menaiki helikopter ke Dungun untuk mengadakan perjumpaan dengan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan masyarakat Dungun di Arena Square.

Selepas itu, Najib akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Payong di Marang sebelum menghadiri jamuan rakyat di padang orang ramai Bukit Payong.

Ahmad berkata, Perdana Menteri dijangka bertolak balik ke Kuala Lumpur kira-kira jam 5 petang.
Beliau berkata, Perdana Menteri dijadual datang semula ke Terengganu pada Ogos depan untuk menghadiri majlis berbuka puasa anjuran kerajaan negeri. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan