Jumaat, 6 Julai 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tali sawat kereta baru ‘dipotong’

Posted: 05 Jul 2012 03:16 PM PDT

KUALA LUMPUR: Malang berganda buat seorang penjawat awam apabila kereta yang baru dibelinya beberapa bulan lalu terbabit kemalangan dan pada masa sama, ditipu pemilik bengkel membaiki kenderaannya itu.

Mangsa, M Subas Rao, 43, berkata, kereta Honda Civic miliknya terbabit kemalangan di Gombak, di sini, pada 20 April lalu dan kenderaannya itu dihantar ke sebuah bengkel kereta di Selayang.


Menurutnya, pada 3 Mei lalu, pemilik bengkel terbabit menghubunginya bagi memaklumkan kenderaannya sudah siap dibaiki namun ketika hendak menghidupkan enjin, ia berbunyi kuat.

"Akibat tidak puas hati, saya meminta pemilik itu memeriksa semula dan dia menyatakan kereta saya mengalami kerosakan di bahagian enjin serta berjanji menghubungi pihak insurans bagi membaiki kerosakan berkenaan.


"Selepas menunggu lebih sebulan dan selepas dipaksa beberapa kali, pemilik bengkel terbabit meminta saya mengambil semula kereta pada 27 Jun lalu namun selepas memandu ke Taman Tasik Titiwangsa dan memberhentikan kereta berkenaan, saya gagal menghidupkan enjinnya semula," katanya, semalam.


Beliau berkata, syak keretanya kembali rosak, dia menghubungi seorang kenalan untuk memeriksa keretanya dan terkejut selepas dimaklumkan tali sawat kereta yang baru ditukar itu sudah putus.

"Dengan kereta penunda, kereta saya dibawa semula ke bengkel terbabit dan selepas diperiksa, saya mendapati tali sawat itu mempunyai kesan seperti dipotong.


"Saya bernasib baik kerana tali sawat itu terputus sebaik saya mematikan enjin kereta, jika ia berlaku ketika saya memandu sudah tentu saya terbabit kemalangan," katanya.

Bagaimanapun, pemilik bengkel terbabit berjanji memperbaiki keretanya dan pada 29 Jun, dia mengambil semula keretanya namun dalam perjalanan ke pejabat di Wangsa Maju, suhu enjin keretanya naik mendadak.


Katanya, bimbang enjin kereta terbakar, dia memberhentikan keretanya di tepi jalan sebelum menghubungi pemilik bengkel itu. Tetapi, pemilik itu enggan bertanggungjawab.


Selepas yakin dirinya teraniaya, dia membuat laporan polis di Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06


‘Tangan ghaib’ belum terjawab

Posted: 05 Jul 2012 03:14 PM PDT

SHAH ALAM: Hari terakhir sesi pendengaran awam Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) mengenai isu pindaan draf Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) gagal menetapkan siapa bertanggungjawab dalam isu itu.

Selepas tiga hari Selcat diadakan, tanda tanya mengenai 'tangan ghaib' yang mengubah pelan berkenaan terus menjadi persoalan apabila pegawai kanan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) enggan mengaku bertanggungjawab dan masing-masing menuding jari ke pihak atasan.


Bagaimanapun, mereka juga gagal menyatakan dengan jelas pihak yang memberikan arahan berkenaan ketika ditanya Pengerusi Selcat, Datuk Teng Chang Khim.

Sebaliknya Teng diberitahu mereka hanya menjalankan arahan pihak atasan iaitu oleh Pengarah Perancang Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Noraini Roslan (kini bekas) dan tidak tahu arahan yang Noraini terima daripada pihak mana.


Noraini yang ketika ini menjawat jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bagaimanapun menafikan memberi arahan melaksanakan pindaan pelan berkenaan kerana beliau tidak terbabit aspek teknikal.


"Saya hanya membenarkan beberapa pindaan asas dibuat seperti dipersetujui dalam satu mesyuarat yang diadakan secara bersama dan pindaan dilakukan tidak spesifik kepada Padang PKNS saja.

"Bagaimanapun, saya akui arahan pindaan itu dibuat tanpa merujuk undang-undang terlebih dulu, tetapi sebaliknya hanya dibuat berdasarkan amalan biasa," katanya.


Chang Khim turut membidas alasan Noraini itu kerana tidak munasabah seorang Pengarah Perancang Bandar tidak mengambil tahu aspek teknikal dalam pembangunan sesuatu zon.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Padang Rakyat Kelana Jaya, Datuk Zul Mukshar Md Shaari ketika ditemui berkata, pihaknya kecewa kerana tiada jalan penyelesaian dicapai dalam kemelut itu.


"Penduduk inginkan jawapan yang pasti, bukan hanya bercakap semata-mata. Kalau cakap pasal kepincangan, kami sudah lama tahu ia berlaku, kalau tiada kepincangan isu ini tidak akan berlaku," katanya.


Bagi Setiausahanya, Esham Salam, berkata polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menjalankan siasatan terhadap pemalsuan dokumen RTPJ2.


"Jelas wujud penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan nilai mencecah bilion ringgit dan saya harap isu ini segera diselesaikan," katanya.


Individu lain yang turut dipanggil memberi penjelasan kepada Selcat ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan Sakiman, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor, Mohd Zaki Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah JPBD, Azman Talib dan Timbalan Pengarah JPBD, Norasiah Bee Mohd Hanif.


Sementara itu, Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata kakitangan awam menjadi 'kambing hitam' dalam isu terbabit kerana terpaksa mengikut segala arahan yang diberikan mereka yang lebih berkuasa.


Beliau berkata, walaupun sudah menjalankan sesi pendengaran awam selama tiga hari, jelas Selcat tidak dapat membantu menyelesaikan isu berkenaan kerana sudah jelas siapa yang bertanggungjawab dalam pindaan pelan berkenaan.


"Saya gesa SPRM siasat apa yang berlaku. Dalam isu ini, kakitangan kerajaan yang akan menjadi mangsa walaupun mereka tidak tahu apa-apa kerana hanya mengikut arahan yang diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06


1 ulasan:

  1. urrmm ....mna artikel remaja maut pada 5/7/2012..sekitar kawasan beufort..

    BalasPadam