Rabu, 18 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Imam Makkah untuk solat terawih di empat masjid KL, Putrajaya

Posted: 18 Jul 2012 05:01 AM PDT

PUTRAJAYA: Sempena Ramadan, empat imam yang dijemput khas dari Makkah akan mengimamkan solat terawih di beberapa masjid besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata imam berkenaan akan ditempatkan di Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di sini.

"Selain solat terawih, imam-imam itu juga akan mengimamkan solat tahajud dan memberikan tazkirah," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Salam Sahur Kasih Ramadan di sini hari ini.

Turut hadir Atase Arab Saudi di Malaysia, Dr Abdurrahman Muhamad dan imam jemputan berkenaan - Dr Suffian Ibnu Omar, Syeikh Fadi Muhammad Al-Batsyi, Syeikh Badrudin Ali Tomi Al Asyish dan Dr Ahmad As Sai'd.


Othman berkata kedatangan mereka adalah hasil perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan pihak kedutaan Arab Saudi.


"Kemungkinan jumlah itu akan ditambah lagi dan seterusnya akan digilirkan ke beberapa negeri lain," katanya.

Sementara itu, Dr Abdurrahman mengucapkan terima kasih atas kesudian menjemput imam-imam itu untuk bersama menyambut Ramadan kali ini.

"Kami akan sumbang kebaikan kami untuk apa saja yang diperlukan oleh rakyat Malaysia sebagai tanda penghargaan di atas kerjasama yang baik itu dan pendekatan ini secara tidak langsung dapat menjaga hubungan baik di antara kedua-dua buah negara," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/18


Inflasi bulan Jun naik 1.6 peratus tahun-atas-tahun

Posted: 18 Jul 2012 03:43 AM PDT

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan Jun meningkat 1.6 peratus tahun-atas-tahun daripada 103.2 kepada 104.8, naik 0.1 peratus bulan-atas-bulan, demikian menurut Jabatan Perangkaan, hari ini.

IHP untuk Januari hingga Jun mengukuh 2.0 peratus kepada 104.6 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, katanya.

Indeks untuk makanan dan minuman bukan-alkohol dan bukan makanan untuk bulan Jun lebih tinggi, masing-masing 2.9 dan 1.0 peratus jika dibanding dengan bulan yang sama tahun lepas, katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, apabila dibandingkan dengan bulan sebelumnya, indeks untuk makanan dan minuman bukan alkohol mengembang 0.6 peratus sementara indeks untuk bukan makanan lebih rendah sebanyak 0.2 peratus.


Antara Januari dan Jun, indeks untuk makanan dan minuman bukan alkohol dan bukan makanan, lebih tinggi, masing-masing 3.1 peratus dan 1.6 peratus. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/18


Tiada ulasan:

Catat Ulasan