Selasa, 17 Julai 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lori bersepai

Posted: 16 Jul 2012 01:25 PM PDT

ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori membawa muatan plastik kitar semula cedera parah selepas lori dipandu dirempuh treler dari arah belakang di Kilometer 219.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, mangsa berusia 30-an yang belum dikenal pasti identitinya dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan selepas dirempuh treler dari arah belakang.


Akibat rempuhan itu, lori dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan lalu merempuh penghadang besi.

Seorang pengguna jalan raya yang terawal tiba di tempat kejadian dikenali sebagai Irwan Ghazali, 36, berkata, dia yang memandu di laluan kiri terkejut melihat treler di hadapannya bergegar.


Katanya, dia yang memandu dalam jarak 10 meter di belakang treler itu sempat memerhatikan keadaan kenderaan itu bergegar kuat sebelum masuk lorong tengah.


"Ketika memotong treler berkenaan, saya sempat memandang ke kiri dan melihat sebuah lori muatan plastik di hadapan treler itu tidak stabil sebelum terbalik ke kiri dan terseret.

"Pada masa sama saya lihat badan lori itu bersepai dan muatan plastik dibawa bertaburan di atas jalan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Menurut Irwan, dia terus memberhentikan keretanya kira-kira 250 meter di hadapan dan berlari ke lokasi kemalangan serta melihat pemandu lori itu tersepit.

"Selepas melihat pemandu lori tersepit dan masih hidup, saya terus hubungi talian kecemasan sebelum anggota peronda Plus tiba beberapa minit kemudian," katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Penguasa Bomba R Bajiyen berkata, bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 1.32 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.


"Ketika tiba di lokasi didapati seorang pemandu lori masih tersepit di tempat duduk pemandu dan bomba mengambil masa kurang 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang mengalami patah kaki kanan.


"Mangsa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/17


Tampar pemandu

Posted: 16 Jul 2012 01:15 PM PDT

AMPANG: Seorang lelaki dan teman wanitanya ditampar serta dipukul seorang penunggang motosikal yang menuntut ganti rugi mendakwa dia menjadi punca kemalangan di Jalan Bunga Raya, Pandan Indah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, mangsa berusia 29 tahun memandu keretanya bersama teman wanita di jalan berkenaan apabila sebuah motosikal menghimpit keretanya menyebabkan kedua-dua kenderaan bergesel.


Menurut sumber, penunggang motosikal terbabit berhenti mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat membrek lalu terlanggar motosikal berkenaan.

"Belum sempat lelaki itu keluar dari keretanya untuk melihat kesan kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit menerkam dan membuka pintu kereta lalu menarik mangsa keluar dan menyerangnya.


"Mangsa ingin berbincang, tetapi penunggang terbabit menampar dan membelasahnya menyebabkan rakan wanitanya cuba meleraikan pergaduhan," katanya.


Bagaimanapun, menurut sumber itu, tindakan wanita berkenaan membawa padah kerana dia turut dipukul suspek dan menuntut mangsa membayar ganti rugi kerosakan motosikalnya. "Berang mangsa enggan membayar ganti rugi, penunggang itu sekali lagi cuba menyerangnya namun membatalkannya apabila melihat orang ramai datang ke arah mereka. "Dia kemudian berlari ke arah motosikalnya sebelum meninggalkan tempat kejadian," katanya.

Mangsa dan rakan wanitanya yang trauma ditenangkan orang ramai sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/17


Tiada ulasan:

Catat Ulasan