Isnin, 9 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


1 maut, 1 cedera amuk di JPM

Posted: 09 Jul 2012 07:19 AM PDT

PUTRAJAYA: Seorang lelaki yang mengaku dirinya Imam Mahdi bersama pasangannya, seorang wanita mengamuk sambil masing-masing melibas pedang samurai ke arah orang ramai dan penjawat awam selepas menceroboh masuk ke kawasan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam kira-kira 2.30 petang itu, seorang daripada suspek terbabit turut meletakkan pedang samurai pada leher seorang daripada anggota polis bantuan serta melibas dan merosakkan cermin kereta di perkarangan bangunan berkenaan.

Keadaan yang tidak terkawal dan berbahaya itu memaksa anggota polis melepaskan tiga das tembakan ke arah dua suspek terbabit, dengan dua das daripadanya terkena pada tangan kanan dan bahagian bawah perut suspek lelaki, manakala satu tembakan lagi terkena paha kanan wanita itu.

Berikutan itu, kedua suspek terbabit dibawa ke Hospital Putrajaya, sebelum suspek lelaki disahkan meninggal dunia kira-kira 15 minit dimasukkan ke hospital berkenaan, manakala suspek wanita masih menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/09


Negara kehilangan tokoh budaya tersohor

Posted: 09 Jul 2012 06:05 AM PDT

KUALA LUMPUR: Malaysia kehilangan seorang tokoh budaya tersohor, Azah Aziz, 83, atau nama penuhnya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, yang cukup dikenali sebagai seorang yang amat cintakan khazanah alam Melayu.

Isteri kepada Profesor Diraja Ungku Aziz itu menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira 10 pagi tadi akibat serangan angin ahmar.

Dilahirkan pada 21 Ogos 1928 di Singapura dan dibesarkan di Johor Baharu, Azah yang turut dikenali sebagai Mak Ungku mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Convent, Johor Baharu.

Menurut buku biografinya berjudul 'Azah Aziz: Kartika di Langit Seni' yang diterbitkan pada 2002, Azah melalui zaman remajanya ketika perang Jepun dan pengajian beliau terganggu semasa perang.


Selepas perang tamat, beliau berhasrat untuk menyambung pelajaran tetapi dilamar oleh Ungku Aziz dengan kata-kata: "Berkahwin dengan saya sama seperti menuntut pelajaran tinggi di sebuah universiti".


Azah, ibu kepada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, dikenali sebagai seorang yang cukup arif tentang dunia pakaian Melayu daripada jenis kainnya hinggalah kepada semua potongan pakaian tradisional.

Beliau yang sentiasa tampil manis berbaju kurung difahamkan mempunyai koleksi lebih 100 pakaian warisan lama seperti baju kurung, baju Melayu dan kebaya.

Azah juga amat menghargai keindahan pantun Melayu dengan merakamkan ketinggian tahap intelek orang Melayu di sebalik pilihan kata-kata yang halus dan penuh berseni.

Selain itu, Azah ialah antara wartawan wanita Melayu pertama dan pernah berkhidmat di Berita Harian, Singapura pada 1957 sebelum ke Utusan Melayu dan majalah Wanita.

Azah, yang juga anak saudara pengasas Umno Datuk Onn Jaafar, ialah pengasas Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena). - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/09


Tiada ulasan:

Catat Ulasan