Sabtu, 14 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis bincang hal parkir

Posted: 13 Jul 2012 03:37 PM PDT

SUBANG JAYA: Kes jenayah di parkir pusat beli-belah yang kerap dilaporkan berlaku kebelakangan ini mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia bagi membincangkan kaedah terbaik meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan untuk keselesaan pengunjung, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semakin ramai pengunjung berasa tidak selamat apabila berada di tempat letak kereta pusat beli-belah sehingga ia memerlukan sesuatu tindakan pantas dan berkesan bagi mengatasi masalah berkenaan. Menurutnya, disebabkan masalah itu pemilik pusat beli-belah perlu peka dan mengambil berat keselamatan pengunjungnya dan memastikan mereka sentiasa dalam keadaan selamat, terutama apabila berada di kawasan tempat letak kereta.


"Polis akan menjalinkan kerjasama rapat dengan pengusaha dan pengurusan pusat beli-belah untuk diberi pendedahan mengenai kepentingan dan penerangan mengenai langkah keselamatan bagi membendung kes jenayah di premis berkenaan.

"Oleh itu, perjumpaan seperti ini adalah pendekatan untuk mereka berinteraksi dengan polis dalam memberikan pelbagai maklumat khususnya mengenai kegiatan jenayah dan langkah yang perlu diambil bagi menanganinya," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan sesi dialog bersama lebih 300 ahli PPK di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.


Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dan Presiden PPK, HC Chan.

Khalid turut menjadikan pusat beli-belah Sunway Pyramid sebagai contoh premis yang mementingkan kawalan keselamatan untuk pengunjung apabila memasang 200 butang panik dan 400 kamera litar tertutup (CCTV).


"Sunway Pyramid juga menyediakan pengawal keselamatan dan polis bantuan yang lebih ramai bagi melakukan rondaan menggunakan kereta, motosikal dan basikal, sekali gus mampu memberikan keyakinan kepada orang ramai, terutama pengunjung.

"Usaha dilakukan pengurusan Sunway Pyramid wajar dicontohi pusat beli-belah lain dan mereka boleh belajar daripada pusat beli-belah ini bagaimana meningkatkan sistem keselamatan," katanya.


Khalid juga berkata, curi motosikal dilaporkan kes tertinggi di pusat beli-belah apabila 115 kes direkodkan pada tahun lalu, diikuti cabul (44 kes), samun tanpa senjata api (10 kes) dan ragut sebanyak lapan kes.


Katanya, bagi enam bulan pertama tahun ini, curi motosikal dilaporkan sebanyak 54 kes, cabul (17 kes), samun tanpa senjata api (enam kes) dan ragut (empat kes).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/14


Pengedar campak heroin dalam mangkuk tandas

Posted: 13 Jul 2012 03:37 PM PDT

KUALA LIPIS: Sejurus mencampakkan enam peket dadah dipercayai heroin dan syabu ke dalam mangkuk tandas, seorang pengedar nekad bergelut dengan anggota polis dalam usahanya untuk mengelak ditahan apabila rumahnya di Felda Sungai Koyan, dekat sini, diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), jam 11.30 malam kelmarin.

Lelaki berusia 21 tahun itu bertindak sedemikian selepas tiada pilihan sebaik melihat kehadiran sepasukan anggota polis di ruang tamu rumahnya.


Sebelum itu, polis yang menerima maklumat kegiatan haram pengedar terbabit mengepung dan membuat intipan di rumah suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Yap Thoon Khuan berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, pengedar terbabit berlari menuju bilik air bersama satu beg kecil. Katanya, bagaimanapun, selepas beberapa minit, pengedar terbabit diberkas sebelum polis mengambil beg yang dicampakkan dalam mangkuk tandas untuk pemeriksaan.


"Hasil pemeriksaan, polis menemui empat peket heroin seberat 26.80 gram bersama dua peket syabu seberat 2.54 gram dan nilai kedua-dua bahan terlarang itu dianggarkan RM2,000," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, ujian air kencing terhadap pengedar terbabit mendapati dia positif Methamphithamine dan kini direman di lokap Balai Polis Kuala Lipis selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya Pindaan 1952.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/14


Tiada ulasan:

Catat Ulasan