Sabtu, 21 Julai 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pelajar Malaysia di Syria akan dibawa pulang

Posted: 21 Jul 2012 02:56 AM PDT

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia sudah mengambil keputusan untuk memulakan proses pemindahan pelajar Malaysia dari Syria pulang ke tanahair dengan segera berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata pemindahan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden tidak diingini. Pemindahan itu diselaraskan oleh Kementerian Luar Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bersama Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.
Sehubungan itu, Kementerian Luar memohon kerjasama ibu bapa/penjaga untuk menasihati anak-anak mereka yang masih berada di Syria untuk pulang ke Malaysia.

"Duta Besar Malaysia dan empat orang pegawai kedutaan akan turut dipanggil pulang buat sementara waktu selepas proses pemindahan pelajar selesai dilaksanakan," kata Anifah dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehingga kini, semua 138 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 128 pelajardan 10 ekspatriat yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia itu berada dalamkeadaan selamat.

Kementerian sekali lagi menggesa semua rakyat Malaysia yang masih berada di Syria agar pulang ke tanah air atau meninggalkan negara berkenaan dengan segera, dan bagi mereka yang berhasrat melawat Syria, dinasihatkan menangguhkan lawatan hingga situasi keselamatan kembali pulih.
Kementerian sudah membuka Bilik Operasi dan orang awam boleh menghubungi talian 03-88874570 untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini. - BERNAMA

Aisya Safia sah juara Bintang RTM 2012

Posted: 21 Jul 2012 02:15 AM PDT

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini mengesahkan kemenangan Aisha Safia sebagai Juara Bintang RTM (BRTM) 2012 kerana tidak melanggar syarat pertandingan.

Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, berkata Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM melakukan soal selidik dan rujukan berikutan aduan bahawa Aisha Safia pernah merakam suara dalam bentuk 'single'. Dalam kenyataan di sini, beliau berkata antara syarat penyertaan BRTM 2012 menyatakan bahawa peserta hendaklah belum pernah merakam album atau menandatangani kontrak dengan mana-mana syarikat rakaman.
Justeru itu, Mokhzani berkata Aisha Safia tidak melanggar syarat kerana beliau tidak merakamkan album penuh kecuali hanya sebuah 'single'.

"Rakaman 'single' itu dibuat bukan berlandaskan kontrak dengan mana-mana syarikat rakaman serta dibiayai beliau sendiri," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan