Berita Harian: Mutakhir |
Penduduk Marang rai Najib pada majlis 'Bekwoh' Posted: 13 Jul 2012 02:26 AM PDT MARANG: Apabila dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan berkunjung ke daerah ini hari ini, "Bekwoh" menjadi sebutan penduduk untuk meraikan kedatangan pemimpin nombor satu negara itu. Perkataan Bekwoh, merujuk kepada majlis kenduri atau jamuan makan, yang sinonim dengan penduduk di Terengganu dan Kelantan, difahamkan diadaptasi daripada perkataan bahasa Inggeris "Big Work". Sejak awal pagi, persiapan memasak dimulakan dengan memasak 40 gulai kawah untuk dijadikan menu utama untuk jamuan rakyat itu di Dataran Kampung Bukit Payong di sini. Katanya, mereka menyediakan makanan utama yang biasa didapati di majlis keraian di daerah itu iaitu daging gulai kawah, ikan kering, belacan, sayur serta ulam. Menyifatkan penduduk kampung sebagai bertuah kerana Perdana Menteri sudi meluangkan masa melawat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, Zaidi yang juga Penyelaras Barisan Nasional (BN) DUN itu berkata program tersebut tidak bersifat kepartian dan masyarakat setempat bersama-sama menjayakannya. "Ini sememangnya dinantikan kerana Perdana Menteri sudi turun lihat dan bertemu muka penduduk kampung," katanya. "Sebenarnya persiapan ini mengambil masa lima hari bagi memastikan yang terbaik. Saya sendiri pening kepala dan tidak dapat tidur lena," katanya. Pada majlis itu, Perdana Menteri hadir bersama pemimpin tempatan yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, menyertai Jamuan Rakyat selepas menunaikan solat Jumaat. Bendahari Masjid Bukit Payong, Salleh Mohamad, 72, berkata kunjungan Najib adalah satu sejarah kepada daerah, kampung dan penduduk di situ kerana ia adalah kunjungan pertama seorang pemimpin negara bergelar Perdana Menteri. Beliau yang juga Pengerusi Tetap UMNO Marang berkata, kunjungan Perdana Menteri itu bukan bersandarkan kepada matlamat politik sebaliknya diatur berjumpa penduduk setempat dengan harapan pertemuan tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan pemimpin dengan rakyat dan sesama penduduk. "Dengan pendekatan ini, saya lihat semua penduduk daripada pelbagai lapisan termasuk fahaman politik menerima baik program ini," katanya. Bagi seorang tetamu, Zaiton Adam, 54, dari Gong Balai, Merchang, dekat sini berkata ini adalah kali kedua beliau hadir bertemu Perdana Menteri. "Baguslah PM datang melawat sini. Kita harap kerajaan akan terus memerintah dengan bijaksana demi kebaikan bangsa dan negara," katanya. Pada majlis itu juga, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuka kaunter untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk. - BERNAMA |
Posted: 13 Jul 2012 02:22 AM PDT KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi setem khas dan Sampul Surat Hari Pertama bertemakan reka bentuk terbaru wang syiling Malaysia Isnin ini. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Khalid Abdol Rahman, berkata pengeluaran setem itu adalah dengan kerjasama Bank Negara. Beliau berkata, produk kali ini mengandungi setem enam persegi berwarna perak bernilai 60 sen yang memaparkan syiling 5 sen dan 10 sen manakala stem berwarna emas dengan nilai sama memaparkan syiling 20 sen dan 50 sen. Sementara itu, Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Yasmin Ramli, berkata koleksi setem baru ini semuanya dicetak pada kertas bersalut perak dan emas dengan perincian unik yang jarang dihasilkan dan ini dilakukan untuk menyerlahkan warna serta reka bentuk syiling baru tersebut. Katanya, pengumpul setem digalakkan mendaftar sebagai ahli Standing Order Deposit Account (SODA) untuk mendapatkan setem dan produk filateli lain yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tanpa perlu beratur di kaunter. Orang ramai boleh melayari laman www.pos.com.my untuk maklumat lanjut. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan