Rabu, 25 Julai 2012

Kosmo Online - Negara

Kosmo Online - Negara


Malaysia juga boleh tenggelam

Posted:

Malaysia juga boleh tenggelam

Oleh ZULKIFLI MANZOR dan SUHANA YUSOP
berita@kosmo.com.my

KAWASAN pantai yang terhakis seperti di Tanjung Piai, Johor ini lebih mudah tenggelam jika berlaku kenaikan paras laut.


KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia terutama kawasan pesisir pantai berisiko ditenggelami air laut jika lapisan ais di Greenland cair sepenuhnya.

Pakar geologi, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, risiko itu timbul kerana kejadian ais cair di pulau berhampiran Kutub Utara tersebut jika berterusan boleh menyebabkan paras air laut termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka meningkat.

"Apabila air laut meningkat maka daratan Malaysia akan ditenggelami air laut terutama kawasan pesisir pantai yang berada pada kedudukan rendah.

"Risiko ini bagaimanapun tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana pencairan ais di Greenland akibat pemanasan global berlaku secara berperingkat-peringkat," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas kejadian kecairan glasier yang luar biasa di Greenland pada bulan ini yang membabitkan kawasan lebih luas berbanding sepanjang tempoh 30 tahun lalu.

Imej satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat baru-baru ini menunjukkan hampir 97 peratus permukaan glasier di Greenland mula mencair.

Sebuah bongkah ais gergasi dua kali lebih besar daripada Manhattan, Amerika Syarikat atau hampir menyamai saiz Pulau Tioman di Malaysia turut pecah.

Ibrahim berkata, fenomena pemanasan global menjadi punca lapisan ais di Greenland cair dan ini telah mengakibatkan paras air laut di Malaysia meningkat satu hingga dua milimeter setiap 10 tahun.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, langkah terbaik untuk memperlahankan pencairan ais di Greenland ialah dengan mengehadkan aktiviti yang menyebabkan pemanasan global.

Sementara itu, Pakar Oseanografi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Prof. Dr. Kamaruzaman Yunus pula memberitahu, peningkatan paras air laut akan menyebabkan kawasan-kawasan rendah di negara ini dinaiki air dan banjir kilat berlaku lebih kerap.

"Kawasan rendah yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini berkemungkinan berlaku banjir dan proses untuk air surut akan mengambil masa lebih lama," jelasnya.

Menurut Kamaruzaman, kecairan ais yang berlaku dan kesannya kepada negara ini adalah berpunca daripada pemanasan global yang disebabkan oleh pembuangan sisa industri yang tidak dikawal, pembebasan karbon dioksida (CO2) dan pertambahan penduduk manusia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Yap Kok Seng pula ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang memantau perkembangan di Greenland serta akan mengkaji kesan fenomena itu terhadap Malaysia.

Takut tengok roket atas kepala

Posted:

Takut tengok roket atas kepala

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
luqman.ridhwan@kosmo.com.my

KUMPULAN pertama tujuh pelajar Malaysia dari Syria mengaminkan doa selepas selamat tiba di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG - "Saya hanya boleh berdoa ketika melihat roket tentera berterbangan di ruang udara atas rumah kami pada waktu malam."

Itulah antara detik mencemaskan yang dialami pelajar Malaysia di Syria, Mohd. Luqman Saidin, 23, ketika dia berada di negara yang sedang bergolak itu minggu lalu.

Menurut pelajar Ma'had Dauli itu, situasi tersebut menyebabkan dia serta rakan-rakan pelajar sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menyelamatkan diri.

"Bunyi tembakan dapat didengari dengan jelas dari tempat tinggal saya di kota Damsyik dan malah ia juga kerap berlaku.

"Paling menakutkan, ia bagaikan tidak putus-putus terutamanya pada waktu petang selepas Isyak dan berterusan sehingga tengah malam," kata pelajar dari Kedah itu kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Luqman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana bertindak pantas membawa dia dan rakan-rakannya pulang ke tanah air.

Dia bersama enam lagi pelajar menjadi kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dibawa pulang semalam dengan menaiki pesawat Emirates EK346 dari Damsyik, Syria.

Pelajar lain yang selamat tiba ialah Abdul Halim Mohammad Ghazali, 21; Muhammad Afifuddin Md. Tahir, 23; Muhammad Hasan Hilmi Hassan Shukri, 21; Muhammad Othman Zawawi, 23; Muhammad Rusydi Ilhami Ahmad Fahmi, 22, dan Syed Abdul Rahman Syed Ramli, 14.

Luqman menceritakan, dia yang tinggal bersama tiga lagi pelajar Malaysia di rumah sewa mereka bersyukur kerana dapat pulang dengan selamat serta tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan.

Seorang lagi pelajar Ma'had Dauli, Muhammad Afifuddin berkata, pergolakan itu menjadikan masjid di Syria sunyi kerana tidak ramai yang berani mengunjunginya untuk beribadat.

Malah, katanya, solat tarawih juga dihadkan kepada lapan rakaat dan bukan 20 rakaat bagi mengelak ada jemaah menjadi mangsa serangan.

"Selepas solat, kami terpaksa pulang segera ke rumah atas faktor keselamatan, lebih-lebih lagi kawasan kejiranan cuma satu kilometer dari medan pertempuran," katanya.

Sementara itu, bagi Muhammad Hasan, keadaan menjadi semakin tidak terkawal pada minggu lalu terutamanya pada hari Rabu dan Khamis.

Menurutnya, bunyi tembakan dapat didengari pada bila-bila masa manakala kelibat tentera yang ramai cukup membimbangkan.

"Alhamdulillah, Persatuan Pelajar Malaysia Syria dan kerajaan telah membuat keputusan yang tepat untuk menghantar kami pulang," katanya yang belajar di Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro.

Penjawat awam dapat bonus raya

Posted:

Penjawat awam dapat bonus raya

NAJIB beramah mesra dengan sebahagian daripada 60 pelajar Tahfiz Iqraq al-Quran Ampang pada majlis penyerahan sumbangan dana bina masjid di Taman Nirwana, Ampang semalam.


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.

Menurut Perdana Menteri, pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.

Najib berkata, pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan