Ahad, 8 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kementerian perluas sistem modular di peringkat sekolah menengha atas

Posted: 08 Jul 2012 03:13 AM PDT

KOTA BHARU: Kementerian Pelajaran akan memperluas Sistem Modular iaitu peperiksaan mengikut semester di peringkat sekolah menengah atas ke seluruh negara mulai tahun ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian belum bercadang mengadakan sistem itu secara berpusat seperti yang terdapat di pusat matrikulasi.

"Walaupun sistem ini bukanlah merupakan sistem baharu kerana sudah diperkenalkan beberapa tahun lalu di peringkat tingkatan enam di negara ini, tetapi ia akan diperluaskan lagi ke seluruh negara mulai tahun ini," katanya kepada kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Sekolah-Sekolah Kelantan 2011, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussin Awang.


Pada majlis itu, Abd Ghafar turut menyampaikan hadiah kepada pengetua dan guru besar mewakili sekolah yang berjaya dalam kategori masing-masing, termasuk anugerah bagi Gred Purata Sekolah (GPS), Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dan Anugerah Lonjakan.


Abd Ghafar berkata sistem modular yang diperkenal itu memerlukan pelajar tingkatan enam menjalani pengajian tiga semester untuk mengumpul mata sebelum diterima melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi mengikut sistem merit.

Beliau berkata sistem itu mempunyai kelebihan dan setiap pelajar diberi pengisian dalam bidang pendidikan yang lebih luas berbanding sistem biasa.

"Ini membolehkan mereka menerima pendidikan dengan lebih cepat setelah diterima melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi," katanya.

Mengulas penyerapan sekolah agama rakyat di bawah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), beliau berkata langkah itu lebih memberi kebaikan kepada Kementerian Pelajaran ke arah penambahbaikan mata pelajaran di negara ini selaras strategi transformasi Pendidikan Negara.

Tanpa menyebut jumlah sebenar bilangan sekolah di Kelantan yang bakal diterima sebagai sekolah di bawah SABK kementerian itu, Abd Ghafar berkata beliau bangga dengan pencapaian pelajar sekolah menengah agama di bawah kerajaan negeri itu, kerana ia turut meningkatkan mutu pendidikan negara. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08


Dua anggota polis ditahan miliki dan positif dadah

Posted: 08 Jul 2012 02:59 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Dua anggota polis ditahan awal hari ini kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine (pil kuda) dan syabu, di Paka, Dungun.

Kedua-dua anggota itu, masing-masing lans koperal dan koperal, ditahan kira-kira pukul 2.45 pagi di hadapan sebuah kedai oleh anggota polis Paka yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata anggota polis yang berusia 31 tahun terbabit bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan Pahang manakala seorang lagi berusia 26 tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Selangor.

Kedua-dua mereka ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Persona yang diletak di hadapan sebuah kedai makan dan hasil pemeriksaan awal, kedua-dua suspek tidak mempunyai barang yang salah, katanya kepada Bernama hari ini.


Hasil siasatan awal, katanya polis juga mendapati anggota polis yang bertugas di IPK Pahang itu telahpun digantung kerja berdasarkan kad kuasa warna merah yang ditemui di dalam kereta berkenaan.


"Siasatan lanjut ke atas kenderaan yang dinaiki dua anggota terbabit, polis menjumpai satu kotak kecil dipercayai dadah jenis syabu kira-kira 6 gram serta 27 biji pil kemerahan dipercayai pil kuda yang disorok di dalam bonet," katanya.

Hamzah berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-kedua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Hamzah berkata polis turut menjalankan siasatan lanjut sama ada mereka terbabit dengan kes jenayah lain. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08


Tiada ulasan:

Catat Ulasan