Sabtu, 7 Julai 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Polis tahan 3 suspek dalam kes samun personaliti TV Singapura

Posted: 07 Jul 2012 02:17 AM PDT

JOHOR BAHRU: Polis percaya dapat menyelesaikan kes samun dan peras ugut seorang personaliti televisyen Singapura, Rita Zahara Mohd Nazdeer, Ahad lalu dengan tertangkap tiga lelaki, Rabu lalu.

Polis turut merampas dua pucuk pistol, sepucuk senapang pam berserta tiga peluru hidup dan dua kereta curi termasuk kereta Nissan Sunny milik Rita Zahara daripada suspek berkenaan. Selain itu, polis turut menemui satu lencana Polis Diraja Malaysia, 14 telefon bimbit pelbagai jenama, kad bank dan barangan peribadi mangsa rompakan.
Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata polis menahan ketiga-tiga suspek berumur antara 33 dan 45 tahun dalam serbuan di tiga rumah berasingan di FELDA Ulu Tebrau pada kira-kira jam 5 pagi.

Pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor itu, Rita Zahara dan keluarganya serta wartawan dari Singapura turut hadir.

Mokhtar berkata, dua daripada suspek itu adalah orang yang sangat dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes mencuri kereta di sekitar Johor Baharu dan Kota Tinggi.

Beliau berkata, semua suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika ditahan dan mereka masih memburu dua lagi suspek yang disyaki turut terbabit dalam kes itu.
Katanya, polis akan mengeluarkan gambar lakaran suspek berkenaan dalam masa terdekat.

Selain Nissan Sunny, mereka turut menemui sebuah komputer riba, sebuah telefon bimbit dan kad-kad bank milik personalti TV tersebut.

Mokhtar berkata, semua suspek berkenaan, yang ditahan reman sehingga 10 Julai, mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes samum, curi kereta, pecah rumah dan dadah.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 kerana memiliki pistol dan Seksyen 8(a) akta sama bagi kes memiliki peluru," katanya.

Menjawab satu soalan, Mokhtar berkata polis masih belum dapat memastikan pembabitan sindiket dalam kes yang kononnya menyasarkan pengunjung Singapura.

Beliau berkata, penjenayah tidak mensasarkan mangsa mengikut kerakyataan tertentu tetapi akan bertindak apabila mempunyai peluang berbuat demikian.

Mokhtar menambah bahawa dakwaan yang menyatakan kononya penjenayah menyasarkan pelawat Singapura adalah tidak berasas.

"Polis akan meneruskan usaha bagi memastikan negeri Johor selamat untuk dikunjungi oleh semua," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Riata Zahara, 37, memberhentikan keretanya seketika di sebuah stesen minyak untuk mengisi minyak dan membeli buah-buahan di Jalan Susur Larkin pada pukul 12.45 pagi, Ahad lalu.

Dia meninggalkan adik perempuannya yang berusia 19 tahun, dua anaknya yang berusia 11 dan enam tahun serta pembantu rumah mereka di dalam kereta Nissan Sunny miliknya itu sebelum kenderaan berkenaan dilarikan.

Rita Zahara kemudian menghubungi adiknya, namun panggilan itu dijawab oleh seorang lelaki yang kemudiannya meminta wang tebusan dan mengugut akan membunuh anggota keluarganya jika melaporkan kes itu kepada polis.

Rita Zahara dikatakan turut mengadakan rundingan selama empat jam dengan dua penculik berkenaan sebelum kesemua anggota keluarganya itu dibebas dan ditinggalkan di sebuah kawasan perumahan di Ulu Tiram, di sini.

Menurut laporan media lagi, Rita Zahara mengalami kerugian kira-kira RM200,000 dalam kejadian tersebut. - BERNAMA

Warga emas disamun 3 lelaki bersenjata parang

Posted: 07 Jul 2012 01:30 AM PDT

KUANTAN: Seorang lelaki warga emas dan keluarganya disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di rumah mereka di Taman Rimba, Mentakab.

Dalam kejadian 7.50 pagi tadi, tiga suspek yang menaiki sebuah kereta berhenti di depan rumah mangsa sebelum menyerbu masuk ke kawasan rumah dan mengacukan parang ke leher. Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Noor Mansor, berkata ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang menampal pelekat cukai jalan di keretanya.
"Mangsa kemudian dikurung di dalam sebuah bilik bersama isteri dan dua lagi anaknya," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian menggeledah rumah mangsa dan melarikan sebuah komputer riba serta wang tunai berjumlah RM8,000.

"Polis percaya tiga suspek terbabit adalah kumpulan sama yang bergiat aktif melakukan jenayah samun di Temerloh dan di daerah lain," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan