Sabtu, 21 Julai 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Arahan keluar dari Syria

Posted: 21 Jul 2012 03:48 PM PDT

Kuala Lumpur: Kerajaan mengarahkan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik ditutup serta-merta dan semua rakyat yang berada di Syria dibawa pulang segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan mengeluarkan arahan itu berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara berkenaan. "Ketika berbuka puasa tadi (malam tadi), Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menghubungi saya memohon izin membawa pulang rakyat dan pelajar kita di sana.
"Keadaan semakin meruncing disebabkan pertembungan dua puak dan ia boleh memberi kesan kepada pelajar kita.

"Jadi, saya izinkan dan mengarahkan kedutaan kita juga ditutup bagi tujuan keselamatan," katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Pulau Serai dekat Pekan, malam tadi. Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketika ini ada 138 rakyat Malaysia, iaitu 128 penuntut dan 10 ekspatriat di negara bergolak itu, manakala berpuluh-puluh yang lain sudah keluar sejak beberapa minggu lalu.

Semua rakyat Malaysia itu akan dikeluarkan menerusi jalan udara bermula esok menggunakan pesawat syarikat penerbangan yang masih beroperasi dari Damsyik. Difahamkan, mereka akan dipindahkan ke Dubai, Abu Dhabi dan Doha sebelum dibawa pulang.
Dalam kenyataan media, Anifah berkata, pemindahan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

"Mengambil kira perkembangan di Syria yang semakin melarat, kerajaan mengambil keputusan memulakan proses pindah pelajar Malaysia dengan segera," katanya.

Proses pemindahan akan diselaraskan Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.

Anifah mengesahkan 138 rakyat Malaysia di Syria sudah berdaftar dengan pejabat Kedutaan Besar di Damsyik dan semua berada dalam keadaan selamat.

Panggil duta pulang

Katanya, kerajaan juga membuat keputusan memanggil pulang Duta Besar Malaysia di Syria dan empat pegawai kedutaan buat sementara waktu bagi menjamin keselamatan mereka.

"Bagaimanapun, proses pemindahan duta dan pegawai kedutaan hanya akan dilakukan selepas pemindahan pelajar dan rakyat kita yang lain selesai," katanya.

Anifah turut menggesa rakyat Malaysia lain yang masih berada di Syria supaya pulang ke tanah air atau meninggalkan negara itu dengan kadar segera selain menasihatkan mereka yang berhasrat melawat Syria menangguhkannya sehingga situasi kembali pulih.

Sementara itu, Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab ketika dihubungi berkata, semua urusan dokumentasi berkaitan dilakukan pegawai agensi terbabit sejak seminggu lalu bagi membolehkan proses pemindahan dilakukan dengan serta-merta.

Wisma Putra juga membuka bilik operasi dan orang awam boleh menghubunginya untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini. Bilik Operasi Wisma Putra boleh dihubungi menerusi 03-88874570.

INFO
Syria

  • Pergolakan bermula sejak Mac 2011, menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.
  • Tentera Pembebasan Syria (FSA) – kumpulan pemberontak.
  • Lebih 20,000 orang terbunuh setakat ini.
  • 22 juta jumlah penduduk Syria

Bonus Aidilfitri ikut kemampuan kerajaan

Posted: 21 Jul 2012 03:40 PM PDT

Najib semak dulu tuntutan CUEPACS untuk 1.4 juta penjawat

Pekan: Pemberian imbuhan sempena Aidilfitri kepada 1.4 juta kakitangan awam bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, kata Datuk Seri Najib Razak. Sambil tersenyum bila ditanya mengenainya, Perdana Menteri berkata, beliau perlu melihat 'buku kira-kira' kerajaan terlebih dulu sebelum membuat keputusan.
"Nantilah kita semak dulu... kena tengok buku kira-kira dulu. Apa pun kita semak dulu dan apa-apa keputusan mesti berdasarkan kemampuan kerajaan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian cek durian runtuh fasa kedua kepada isteri peneroka FELDA, kain jubah bagi pegawai masjid, sumbangan apron dan topi untuk peniaga bazar Ramadan serta bantuan cermin mata di Dewan UMNO di sini, semalam.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan CUEPACS mengenai pemberian imbuhan Aidilfitri.

Isnin lalu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan hari raya tanpa menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga barang.
Dalam pada itu, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan meminta peniaga bazar Ramadan supaya mengutamakan kebersihan sekitar gerai dan penampilan diri serta mementingkan kualiti makanan yang dijual.

  Terdahulu dalam ucapannya, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, peneroka yang mahu membeli tambahan saham FELDA Global Ventures (FGV) perlu mendapatkan khidmat nasihat profesional.

"Mereka perlu membelinya pada harga semasa di pasaran terbuka. Walaupun peneroka ditawarkan 800 unit saham mereka tetap dapat keuntungan kerana 20 peratus saham FGV dimasukkan dalam tabung amanah yang akan membayar dividen setiap tahun," katanya.

 Ditanya mengenai laporan akhbar bahawa 50 peratus senarai awal calon Barisan Nasional (BN) ditolak, Najib berkata, beliau belum memuktamadkan senarai calon itu.

"Kita akan selesaikan bila tiba masanya. Pada masa ini semuanya adalah spekulasi, malah UMNO pun belum (senarai calon). Kita masih lagi semak-semak dan belek-belek," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan