Jumaat, 20 Julai 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Tiga hilang helikopter terhempas

Posted: 20 Jul 2012 05:33 PM PDT

Jurutera, arkitek, juruukur bahan nekad terjun

Sebuyau: Tiga penumpang helikopter, termasuk seorang wanita hilang selepas bertindak nekad terjun sebelum pesawat itu terhempas di muara Sungai Lupar-Sungai Lingga di Bahagian Sri Aman, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, juruterbang berbangsa Jerman, Rico Stiger, 35, bagaimanapun diselamatkan nelayan setelah hanyut, kira-kira empat jam.
Sehingga operasi mencari dan menyelamat dihentikan jam 8 malam tadi, tiga penumpang itu, Peter Atoh Mayau, 53 (jurutera kanan), Henry Loh, 40 (arkitek) dan Siti Khuzaimah Anwar, 26 (juruukur bahan) masih belum ditemui.

Tiga pegawai Sebiro Holdings itu menaiki helikopter berkenaan untuk meninjau projek di Nanga Merit, Kapit.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata helikopter jenis Eurocopter model Dauphin 2 milik Sebiro Holdings berlepas dari landasan syarikat itu di Jalan Tun Jugah, Kuching pada jam 8.57 pagi.

Katanya, helikopter itu dipercayai berdepan cuaca buruk sebelum juruterbang memaklumkan menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bagi pendaratan cemas.
Kronologi kejadian:

8.57 pagi - Berlepas dari landasan Sebiro Holdings Sdn Bhd, Jalan Tun Jugah, Kuching
9.30 pagi - Terhempas di muara Sungai Lupar-Sungai Lingga
12.16 tengah hari - Pasukan penyelamat mengesahkan kejadian
2 petang - Mangsa pertama, juruterbang, Rico Stiger, diselamatkan di Kampung Telebu
5 petang - Helikopter Nuri TUDM membawa Rico ke lokasi kejadian
6 petang - Operasi mencari dan menyelamat udara ditangguhkan
8 malam - Operasi darat ditangguhkan

‘Sukan kuasa paling kuat satukan rakyat’

Posted: 20 Jul 2012 05:32 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak percaya sukan adalah satu daripada kuasa yang paling kuat menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, bangsa dan etnik.

Perdana Menteri berkata, di Malaysia, perpaduan paling besar menerusi sukan boleh disaksikan dalam kepelbagaian rakyat ialah keghairahan untuk bola sepak. Beliau berkata demikian dalam entri terbaru berjudul 'Malaysia Lwn Man City', sebuah acara untuk ditonton semua dalam blognya www.1Malaysia.com.my, kelmarin.
Katanya, keghairahan itu dapat dilihat bulan lalu apabila jutaan rakyat Malaysia memenuhi setiap restoran mamak pada awal pagi semata-mata kerana mahu menonton siaran langsung Kejohanan Bola Sepak EURO 2012.

"Suasana sama sekali lagi boleh dilihat pada hujung bulan ini apabila skuad kebangsaan kita akan bertemu juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, di Bukit Jalil.

"Saya berpendapat, adalah penting bagi setiap peminat bola sepak daripada segenap lapisan masyarakat berpeluang ke stadium dan memberi sokongan kepada skuad kebangsaan," katanya.

Manchester City akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada jam 9.30 malam 30 Julai ini.
Najib juga melahirkan rasa gembiranya kerana 50,000 tiket kini dijual pada harga RM10, iaitu harga mampu dimiliki.

"Penjualan tiket pada harga yang rendah ini mampu dilaksanakan hasil daripada hubungan rapat antara Malaysia dan pemilik Manchester City, iaitu Abu Dhabi.

"Saya amat berbesar hati apabila mereka mengumumkan yang sebahagian besar daripada hasil penjualan tiket itu akan disumbangkan untuk tujuan amal. Sebanyak 60 peratus akan disalurkan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri berkata, beliau ada membuat kenyataan melalui laman Twitter bahawa 15,000 pertama daripada tiket itu akan dijual bersempena dengan pelancaran 1Malaysia 4 Youth (1M4U) di KLCC, Ahad lalu.

Berikutan itu, katanya, sambutan diterima menggalakkan apabila sebahagian besar daripadanya berjaya dijual pada hari program itu.

"Sekiranya anda tidak berpeluang membelinya pada hari itu, tidak perlu bimbang kerana tiket pada harga yang murah itu masih boleh diperoleh dan mereka yang berminat perlu masuk ke laman sesawang 1MDB," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan