Ahad, 15 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


52 sertai tilawah

Posted: 14 Jul 2012 04:22 PM PDT

KUALA LUMPUR: Hampir sembilan jam juri meneliti bacaan peserta Tilawah Al-Quran Antara Universiti Peringkat Kebangsaan di Muzium Kesenian Islam, di sini, semalam.

Majlis kali ketiga anjuran Yayasan Pelajar Islam Malaysia (YPIM) itu mengumpul penuntut daripda 24 institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.


Pengarah Program, Datuk Mustapa Othman, berkata acara tahunan itu bermula tiga tahun lalu.

Ia bertujuan mengasah bakat qari dan qariah yang berkualiti dari universiti tempatan agar mampu ke kejohanan lebih besar.


"Penganjuran kali ini lebih hebat disebabkan penyertaan menggalakkan daripada universiti. Tahun ini kali pertama kami buka penyertaan kepada universiti swasta.


"Disebabkan kekangan masa, kami terpaksa mengehadkan wakil dihantar setiap universiti dan mungkin tahun depan akan buka peluang serta merancang penganjuran tilawah lebih besar dengan tempoh majlis berlangsung dilanjutkan selama dua hari," katanya.

Berkongsi mengenai kualiti qari mahupun qariah lahir daripada tilawah sebelum ini, beliau berkata, ada peserta tahun lalu berjaya menyertai pertandingan lebih besar.


"Contohnya johan qari pertama, Mohd Syahriansyah Apin dari Universiti Malaya muncul juara Akademi al-Quran musim kelima. Diharapkan, qari atau qariah muda yang kita gilap dapat mewakili ke peringkat antarabangsa," katanya.

Majlis penutupan tilawah dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Pengerusi YPIM, Khalek Awang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/15


‘Hujan batu’ dua tahun

Posted: 14 Jul 2012 04:21 PM PDT

PETALING JAYA: Selepas dua tahun dilanda 'hujan' batu binaan dan sampah-sarap hasil pembinaan dua blok apartmen 24 tingkat di Jalan SS9A/4, kira-kira 20 penduduk rumah teres di Jalan 241/51A di sini, mengadakan bantahan berikutan risiko keselamatan yang makin meningkat.

Penduduk, Nor Ashikin Mohd Dali Jinah, 33, berkata masalah rumah rosak dan kesihatan terjejas meningkat sejurus pembinaan apartmen berkenaan dimulakan pada 2010.


"Saya menetap di sini sejak tujuh tahun lalu, ini kali pertama masalah ini berlaku. Pada mulanya, penduduk mengalami masalah debu berterbangan akibat pembinaan dan lori pasir yang turut melalui jalan utama.

"Sejak pembinaan dijalankan, saya tak pernah buka tingkap dapur dan bilik di bahagian belakang kerana habuk memasuki ruang rumah. Malah kereta dan motosikal yang diparkir di depan rumah turut dilitupi habuk.


"Saya ingatkan masalah hanya berkaitan dengan debu, namun sebaliknya berlaku apabila hujan lebat beberapa bulan lalu, rumah saya dinaiki air sedalam dua sentimeter. Selepas membuat pemeriksaan, barulah saya tahu rupa-rupanya bumbung pecah akibat ditimpa runtuhan batu-bata dari projek itu.


"Bukan itu saja, saluran paip di bumbung juga dipenuhi serpihan batu-bata menyebabkannya tersumbat. Permulaannya, pemaju bertanggungjawab, tetapi apabila masalah kerap berulang memaksa saya mengeluarkan wang sendiri untuk membaiki kerosakan berkenaan," katanya ketika ditemui, semalam.

Nor Ashikin yang juga seorang jurutera awam berkata, jarak tapak pembinaan dengan rumah penduduk berhampiran terlalu dekat membahayakan keselamatan mereka.


Selain itu, pemaju juga tidak menghormati penduduk apabila pembinaan diteruskan sehingga lewat malam.

Ketua Persatuan Penduduk Kawasan Impian Baiduri, Tambi Chik Hassan, 50, kecewa dengan kejadian berlaku walaupun pelbagai saluran aduan digunakan namun pembelaan sewajarnya gagal diperoleh.


"Saya pernah membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) beberapa kali, namun tiada tindakan diambil, justeru laporan polis dibuat Selasa lalu dengan tujuan keselamatan sekiranya sesuatu terjadi ke atas penduduk.


"Walaupun pemaju meletakkan jaring keselamatan pada bangunan, bahaya masih wujud. Tambahan lagi, mereka kerap menjalankan kerja pembinaan sampai lewat malam hingga penduduk tidak selesa," katanya yang ditemui bersama Penyelaras Kampung Tunku, Kelvin Chong Seng Foo.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/15


Tiada ulasan:

Catat Ulasan