Khamis, 12 Julai 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


UMNO perlu bersatu untuk menang PRU-13: Muhyiddin

Posted: 12 Jul 2012 02:34 AM PDT

TAIPING: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan semua anggota dan pemimpin UMNO supaya memperkukuhkan perpaduan sekiranya mahu melihat Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perpaduan adalah prasyarat utama untuk kemenangan BN, dan oleh itu semua pemimpin harus bersatu dan memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya. "Saya mahukan BN Perak di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Besar Perak) supaya terus memperkukuhkan jentera pilihan raya dan selalu turun ke bawah bagi mengukuhkan kembali kepercayaan rakyat kepada BN," katanya pada majlis pecah tanah Bangunan UMNO Bahagian Taiping di sini.
Bangunan tiga tingkat yang berharga RM1 juta itu dijangka siap dalam tempoh setahun.

Muhyiddin berkata, BN Perak harus memastikan parti terus kuat dan menebus semula kekalahan sebelumnya serta mencapai kemenangan yang lebih baik.

Beliau berkata, menjadi pemimpin UMNO dan BN sekarang bukanlah tanggungjawab yang ringan kerana zaman telah berubah dan banyak pihak membuat pelbagai tuntutan.

"Tanggungjawab sebagai pemimpin sangat mencabar, namun apa yang penting kita mula lakukan perubahan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) pun memulakan proses transformasi ekonomi dan politik," katanya.
Muhyiddin menegaskan bahawa keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN haruslah dikekalkan bagi menjamin kemenangan parti pada masa-masa akan datang.

Turut hadir pada upacara pecah tanah itu ialah Dr Zambry dan Ketua UMNO Bahagian Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie. - BERNAMA

SPR akan rampas barangan kempen jika keluar kenyataan langgar fatwa agama

Posted: 12 Jul 2012 02:28 AM PDT

IPOH: Suruhanyajaya Pilihan Raya (SPR) tidak teragak-agak untuk merampas barangan mana-mana pihak seperti kain rentang, cakera padat dan video yang mengeluarkan kenyataan dengan melanggar fatwa agama ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan itu diambil selepas perkara itu dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan. "Isu-isu agama ini sudah bangkit balik dan kita bimbang sekiranya terdapat barangan seperti kain rentang, video dan CD yang mempunyai kenyataan-kenyataan mengenai fatwa yang tidak betul sebagai contoh kain rentang 'undi satu parti masuk syurga'.
Ini tidak betul dan kita akan turunkan kain rentangnya," katanya kepada pemberita selepas taklimat persediaan PRU-13 kepada pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Pilihan Raya negeri Perak, Ahmad Adli Abdullah dan Timbalan Setiausaha (Pilihan Raya) SPR Datuk Noordin Che Ngah.

Beliau berkata, SPR akan bekerjasama dengan polis dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk memantau perkara terbabit agar ia dapat dielakkan.

Selain itu, SPR juga akan menurunkan kain rentang yang menyentuh peribadi calon parti, mengkritik keputusan mahkamah, mempertikaikan isu raja dan sensitiviti sesuatu kaum.
Mengenai anggota SPR yang terbabit dalam menguruskan proses pilihan raya di Perak, beliau berkata pihaknya telah menubuhkan 48 pasukan yang mana setiap Parlimen akan menempatkan dua pasukan.

"Kemungkinan kita akan tambah lagi pasukan seperti satu kawasan yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri perlu ada tiga pasukan. Bagaimanapun pegawai SPR akan berbincang dengan Pengarah SPR Perak sekiranya perlu penambahan pasukan," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan