Sabtu, 7 Julai 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Kekayaan FELDA terus dijana: Najib

Posted: 07 Jul 2012 04:39 PM PDT

Kejayaan tutup mulut, fitnah pembangkang

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan akan terus menjana kekayaan FELDA bagi menjamin kesenangan peneroka pada masa depan. Perdana Menteri berkata, kewujudan menara FELDA setinggi 50 tingkat bernilai RM700 juta di tengah ibu kota menjadi bukti transformasi serta lonjakan berganda badan itu selaras dengan kemajuannya.
Malah, katanya, pembinaan menara itu juga yang turut menerima Anugerah Hartanah Asia Pasifik membuktikan FELDA tidak bankrap seperti tohmahan pihak tertentu.

Selain itu, katanya, penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Kuala Lumpur, baru-baru ini juga adalah keputusan tepat dan menguntungkan kerana hari ini ia sudah mencatat keuntungan.

"Kos bangunan ini adalah RM700 juta, tapi hari ini, nilai semasanya adalah RM965 juta. Belum masuk (duduki) sudah untung RM265 juta. Bukankah ini satu keputusan yang menguntungkan.

Mesej kepada 'makhluk perosak'
"Kita bagi mesej kepada 'makhluk perosak', puak sana, masyarakat dan dunia bahawa FELDA kini sudah berjaya di persada antarabangsa dan FELDA akan jana lebih banyak kekayaan untuk diagihkan kepada peneroka dan masyarakat Malaysia.

"Saya tanya pihak bank berapa ramai peneroka sudah jual saham mereka, katanya terlalu sedikit dan ini membuktikan bahawa masyarakat FELDA begitu yakin dengan kerajaan," katanya berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka 2012 di sini, semalam.

Beliau turut merasmikan Menara FELDA yang terletak di Jalan Binjai, di sini, yang mana lapan tingkat daripadanya akan dijadikan pejabat urusan FELDA manakala selebihnya akan disewakan kepada syarikat korporat dan multinasional.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan serta Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad.

Lebih banyak 'durian runtuh'

Perdana Menteri dalam ucapannya turut membayangkan lebih banyak 'durian runtuh' akan dinikmati peneroka sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi kepercayaan mentadbir negara.

Katanya, bayaran durian runtuh yang dijanjikan kerajaan kepada isteri peneroka akan diselesaikan dalam bulan Ramadan ini.

Jakarta tak termakan hasutan Anwar: TPM

Posted: 07 Jul 2012 04:35 PM PDT

Pengaruh tidak sehebat gambaran dicanang

BALI: Kerajaan dan parti politik di Indonesia tidak terpengaruh dengan dakyah dan pembohongan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pengaruhnya di republik itu tidak sehebat gambaran yang diberikannya. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Indonesia berpegang teguh kepada hubungan dua hala sedia terjalin antara kedua-dua negara dan memahami situasi sebenar mengenai Ketua Umum PKR itu.
Beliau berkata, pemimpin di Indonesia juga kini semakin memahami iklim politik Malaysia dan memilih untuk mengakui hubungan baik itu, yang sudah terjalin sejak sekian lama.

"Bagi saya tidaklah sebegitu rupa seperti yang digambarkan oleh beliau (Anwar) seolah-olah dia (Anwar) di Indonesia cukup berpengaruh.

"Saya melihat perkara itu tidak benar. Dalam media-media tempatan (di Indonesia) tiada ruang besar yang membuktikan beliau cukup hebat.

"Saya percaya mereka tak termakan hasutan dan terpengaruh dengan dakyah beliau lakukan terhadap negara kita," katanya kepada media Malaysia di Nusa Dua di sini, semalam.
Muhyiddin berada di sini dalam rangka lawatan enam hari ke Indonesia untuk meningkatkan kerjasama dan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia selain berbincang mengenai isu yang sering mengganggu hubungan di peringkat rakyat di kedua-dua negara.

Anwar burukkan Malaysia

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian mengulas tindakan Anwar yang dikatakan suka memburuk-burukkan Malaysia dengan menggunakan media di Indonesia.

Malah, katanya, isu Anwar langsung tidak dibangkitkan tiga pemimpin parti politik utama republik itu, iaitu Ketua Umum parti Golkar, Aburizal Bakrie; Ketua Umum Parti Demokrat, Annas Urbaningrum dan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputeri ketika pertemuannya secara berasingan dengan mereka di Jakarta, Selasa lalu.

"Kita tidak menolak bahawa Anwar ada kenalan lama di Indonesia, namun tidak menggambarkan keseluruhan situasi sebenar mengenai negara kita seperti beliau gambarkan," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin Yassin menyifatkan lawatannya ke Indonesia berjaya.

Sebagai contoh katanya, Jogjakarta memberi impak besar dalam sektor pendidikan serantau kerana buat kali pertama dalam sejarah ASEAN, negara anggota menjalin kerjasama dengan negara sahabat di luar rantau dalam bidang pendidikan menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran (EMM) ASEAN+3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan