Khamis, 12 Julai 2012

Kosmo Online - Negara

Kosmo Online - Negara


Che Hasnah nekad enggan rujuk

Posted:

Che Hasnah nekad enggan rujuk

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

CHE HASNAH membaca berita perceraiannya di muka depan Kosmo! semalam.


PASIR MAS – Seorang guru al-Quran, Che Hasnah Che Ahmad yang dicerai talak satu oleh bekas suaminya, Yahaya Ibrahim kerana perbezaan parti politik kelmarin bertekad tidak mahu rujuk semula dengan lelaki itu.

Menurut Che Hasnah, 61, dia lebih senang duduk sendirian daripada asyik bertengkar mengenai politik dengan Yahaya, 78.

"Saya dah tak nak kalau dia nak rujuk. Selepas bercerai, saya lebih senang untuk buat apa sahaja dan nak pergi ke mana sahaja yang saya suka.

"Ketika berkahwin dengannya dulu pun kami menetap di rumah saya dan saya akan terus tinggal di sini serta melakukan aktiviti yang saya buat dari dulu lagi iaitu mengajar al-Quran," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Dalam pada itu, Che Hasnah turut menyatakan bahawa dia masih bingung dengan tuduhan suaminya yang mengatakan dirinya sesat serta tidak mengamalkan ajaran Islam dan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak masuk akal.

"Saya seorang guru al-Quran sejak sekian lama iaitu sebelum berkahwin dengan dia lagi. Saya ada lebih 100 orang murid dan kalau saya sesat, orang tak akan datang belajar dengan saya.

"Saya tahu mengenai al-Quran, saya sembahyang, saya mengikuti segala ajaran Islam, saya buat semua tuntutan agama kecuali menyertai Pas," ujarnya.

Jelasnya, sepanjang 14 tahun usia perkahwinannya, dia dan suami tidak pernah bergaduh kecuali berselisih pendapat mengenai fahaman politik.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tuntutan Jamal, Amy Search

Posted:

Tuntutan Jamal, Amy Search

Oleh NOR IDAYU BOSRO dan MOHD. HAFIZI AHMAD
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Dua penyanyi terkenal tanah air yang berasa terhina dengan dakwaan kononnya mereka menerima sogokan berjumlah RM10,000 setiap kali mengisytiharkan menyokong UMNO kini tampil dengan tuntutan supaya pihak terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka.

Bagi Amy Search dan Jamal Abdillah, mereka bukan sahaja berasa terhina bahkan sangat sedih dengan tuduhan bersifat fitnah itu.

Menurut mereka, tuduhan tersebut secara tidak langsung menjatuhkan maruah serta kredibiliti mereka sebagai artis yang sudah bertapak lama dalam industri hiburan tanah air.

Menurut Amy Search atau nama penuhnya Suhaimi Rahman, dia tidak pernah menerima wang sogokan daripada mana-mana pihak untuk menjadi ahli UMNO.

"Keputusan saya untuk menyertai UMNO adalah atas kerelaan sendiri dan bukannya kerana disogok dengan wang ringgit.

"Mana-mana pihak yang dakwa saya masuk UMNO kerana dibeli, tunjukkan bukti terlebih dulu sebelum buat kenyataan sedemikian.

"Saya mahu Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan penulis blog, Mariam Mokhtar membuat permohonan maaf secara terbuka," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kod etika kerajaan sementara PRU-13

Posted:

Kod etika kerajaan sementara PRU-13

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menguat kuasa kod etika kerajaan sementara kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kod etika yang menggariskan peranan sebenar kerajaan sementara bertujuan mengelak salah laku parti politik sepanjang kempen PRU-13.

"Dasar menjadikan kerajaan sedia ada sebagai kerajaan sementara pada tempoh PRU adalah amalan perundangan kebanyakan negara di dunia terutama Komanwel.

"Namun, sering menjadi pertikaian dakwaan salah laku berkaitan pertindihan peranan sebagai anggota kerajaan dan ahli parti politik seperti penggunaan jentera kerajaan untuk kempen pilihan raya," katanya selepas merasmikan Taklimat Persediaan Menghadapi PRU-13 kepada Pasukan Penguatkuasaan Kempen Pilihan Raya Perak di sini semalam.

Wan Ahmad berkata, draf awal kod etika terbabit kini dalam peringkat diperhalusi Jabatan Peguam Negara.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan