Berita Harian: Mutakhir |
Bapa suspek wanita tidak sangka anak mengamuk Posted: 10 Jul 2012 03:43 AM PDT PUTRAJAYA: Suspek wanita yang ditembak selepas mengamuk di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri bersama seorang lelaki semalam, menitipkan dua anak kecilnya di rumah ibu bapanya di Damansara dekat sini, dua hari lalu. Bapa suspek, seorang penjual nasi lemak berumur 55 tahun, berkata suspek meminta mereka menjaga anak-anaknya berusia dua tahun dan setahun dan mereka menyangka dia mempunyai urusan kerja di luar kawasan. Beliau berkata, setahunya suspek, anak kedua dari empat beradik, bekerja sebagai penolong pengurus sebuah syarikat swasta tetapi rupa-rupanya sudah berhenti kerja tanpa pengetahuan mereka. "Saya kesal dengan apa yang dia buat," katanya sambil menambah beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu apabila diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya selepas mendail nombor telefon bimbit anaknya itu. Dalam kejadian 2.30 petang semalam, suspek, berusia lewat dua puluhan, berkelulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ditembak di paha kanan dan masih dirawat di Hospital Putrajaya, manakala lelaki bersamanya Khalil Afandi, 47, yang terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital sama. Polis terpaksa melepaskan tembakan apabila usaha memujuk lelaki dan wanita itu gagal, sebaliknya mereka yang bersenjatakan pedang samurai, cuba menyerang polis dan merosakkan beberapa kenderaan di kawasan itu. Ibu suspek berusia 55 tahun ketika ditemui di perkarangan hospital itu berkata: "Makcik terkejut. Makcik tak tahu nak cakap apa. Makcik sedih sangat". Tinjauan di wad pengasingan Hospital Putrajaya mendapati suspek yang berskaf hitam sedang berbaring di katil dan dikawal dua anggota polis wanita. Sementara itu, suami suspek yang juga pemandu lori mendakwa isterinya terpengaruh dengan laman blog lelaki itu dan beberapa hari sebelum kejadian isterinya berperangai pelik dan dilihat taksub dengan Imam Mahadi. - BERNAMA |
Pelajar Maahad Tahfiz dilaporkan hilang dijumpai selamat Posted: 10 Jul 2012 02:27 AM PDT KUANTAN: Seorang pelajar perempuan tingkatan dua Maahad Tahfiz Pahang di Tanjung Lumpur yang dilaporkan hilang semalam ditemui polis di Gombak, Kuala Lumpur, hari ini. Zuhairatul Jannah Md Zulkifli, 14, dari Tanah Putih, Pekan yang juga anak pegawai kanan Jabatan Pelajaran negeri, ditemui dalam keadaan selamat kira-kira jam 10 pagi. Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata pelajar terbabit dikatakan menumpang tidur di sebuah rumah orang awam di Gombak, malam tadi. Ketika dihubungi di sini, hari ini, beliau berkata ibu bapa pelajar itu juga sudah dimaklumkan mengenai hal itu dan buat masa sekarang, polis akan berbincang dengan ibu bapa pelajar terbabit serta cuba mendapatkan khidmat kaunseling. "Kita belum mengambil keterangan daripada pelajar itu. Bagaimanapun, siasatan awal mendapati tidak berlaku sebarang unsur jenayah," katanya. Kehilangan Zuhairatul Jannah disedari rakan sebiliknya kira-kira jam 6.30 pagi semalam, selepas dia dikatakan selesai menunaikan solat Subuh di Maahad Tahfiz, dekat Tanjung Lumpur. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan