Kosmo Online - Negara |
- Ariel Peterpan dibebas bersyarat hingga 2013
- Semua ingin balik ke Malaysia
- Kerajaan Pusat tolak pengambilalihan Syabas
Ariel Peterpan dibebas bersyarat hingga 2013 Posted: Ariel Peterpan dibebas bersyarat hingga 2013
BANDUNG (Jawa Barat) - Vokalis band Peterpan, Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham akhirnya dibebaskan dari penjara pada hari ketiga umat Islam menyambut Ramadan semalam selepas bergelar banduan selama dua tahun akibat penglibatannya dalam kes pengedaran video lucah. Pembebasan penyanyi berusia 31 tahun itu dari penjara Kebon Waru di sini pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) itu diputuskan selepas Ariel berkelakuan baik sepanjang dipenjarakan bermula 31 Januari tahun lalu serta selepas dia membayar denda sebanyak Rupiah 250 juta (RM84,000). Pembebasan Ariel itu bagaimanapun secara bersyarat dengan peringatan dia tidak boleh mengulangi perbuatannya serta diwajibkan melapor diri ke penjara setiap bulan sehingga dibebaskan secara mutlak pada 21 September 2013. Mengikut hukuman sebenar, Ariel telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun setengah oleh Mahkamah Daerah Bandùng. Berita pembebasan Ariel mendapat reaksi luar biasa daripada ratusan peminatnya yang mengerumuni pekarangan penjara sehingga berlaku kesesakan teruk. Dalam ucapan ringkas di hadapan peminat, Ariel berkata: "Terima kasih kerana terus menyokong saya sekalipun saya sudah bersalah. Tapi yang pastinya pembebasan ini bersyarat dan saya tahu akan ada laporan perlu dibuat setiap bulan dan prosedur lain." Ariel juga dilarang terlibat dalam konsert di luar Indonesia sepanjang tempoh pembebasan bersyarat itu Dari penjara Kebon Waru, Ariel kemudian dibawa ke pejabat Pendakwaraya Bandung untuk menandatangani dokumen serta mendengar syarat-syarat pembebasannya. Kes pengedaran video lucah yang melibatkan Ariel dengan dua artis wanita popular republik itu, Luna Maya dan Cut Tari mencetuskan kegemparan apabila ia mula diedarkan sekitar Jun 2010. Berikutan itu, Ariel ditahan pada 23 Jun 2010 dan menjalani sidang mahkamah sebanyak 14 kali. Sepanjang persidangan mahkamah, dia tidak pernah mengaku melakukan perbuatan itu selain sering memberikan jawapan yang berbelit. Kes pornografi pertama di Indonesia yang dibawa ke pengadilan itu mula dibicarakan di mahkamah pada 22 November 2010. Pada 13 Disember tahun yang sama, Cut Tari yang didakwa terlibat dalam kes berkenaan mengaku di mahkamah yang dia merupakan pasangan yang mengadakan hubungan seks dengan Ariel dalam video itu. Luna Maya pula pada 20 Disember 2010 menafikan di mahkamah dia merupakan pasangan wanita dalam video tersebut. | |
Posted: Semua ingin balik ke MalaysiaOleh JUNHAIRI ALYASA dan NOR IDAYU BOSRO MUHAMED AMAN (depan) sibuk menguruskan misi membawa pulang pelajar Malaysia di pejabat PPMS di Damsyik, Syria. KUALA LUMPUR – Sekretariat Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) sedang berusaha untuk menguruskan dokumen perjalanan dan proses pemindahan 128 pelajar di Damsyik sebelum diserah kepada pihak Kedutaan Malaysia untuk urusan dengan pihak imigresen negara bergolak itu. Menurut Ahli Jawatankuasa PPMS, Muhamed Aman Akil, 23, semua pelajar terbabit sudah menghantar pasport masing-masing untuk urusan mendapatkan visa keluar (exit visa) daripada kerajaan Syria. "Terdapat dua atau tiga orang lagi pelajar yang sudah kita kenal pasti belum menghantar pasport mereka tetapi kita tahu mereka sama seperti yang lain ingin sangat pulang ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Syria bergolak dengan perang saudara berikutan keengganan Presiden Bashar Al-Assad untuk meletakkan jawatan sehingga mendorong kumpulan pemberontak meneruskan perjuangan menentang askar-askar kerajaan sejak Mac tahun lalu. Ketika ini semua pelajar wanita ditempatkan di satu kawasan dekat Rukmuddin, Damsyik manakala pelajar lelaki pula masih tinggal di rumah masing-masing di sekitar kawasan Mujtahid. Kawasan tersebut berdekatan antara satu sama lain dan mereka boleh dihubungi dengan mudah. Muhamed yang juga pelajar tahun dua di Ma'ahad Abu Nour berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tujuh pelajar lagi tidak akan pulang bersama-sama dengan semua 128 pelajar termasuk 10 orang ekspatriat yang berkhidmat di negara tersebut. "Ada di antara mereka sedang menanti untuk mengambil peperiksaan ulangan dan selebihnya memang tidak mahu pulang kerana mereka sudah lama berhijrah ke sini," ujar pelajar jurusan syariah dan Bahasa Arab itu. Dia menjelaskan, kesemua pelajar sudah tidak sabar untuk pulang ke tanah air dan berharap tidak berdepan dengan halangan. "Kami sudah membantu pelajar-pelajar mengemaskan barang-masing-masing dan mereka semua kelihatan begitu teruja untuk pulang," ujarnya. Dalam pada itu, Exco Penerangan PPMS, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, 25, berkata, dia sedang menyiapkan modul penerangan untuk diserahkan kepada semua pelajar sebelum mereka pulang ke tanah air. Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo! | |
Kerajaan Pusat tolak pengambilalihan Syabas Posted: Kerajaan Pusat tolak pengambilalihan SyabasOleh JUNHAIRI ALYASA LOJI Pembersihan Air Semenyih di Dengkil, Selangor ini adalah antara loji yang beroperasi ke paras maksimum bagi memenuhi permintaan air yang semakin meningkat. PUTRAJAYA - Kerajaan Pusat melalui Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu-isu Air Selangor menolak cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas). Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar kecil), pengambilalihan Syabas tidak boleh dilakukan kerana Kerajaan Negeri Selangor tidak mematuhi beberapa perkara dalam perjanjian konsesi seperti kenaikan tarif air dan pampasan. "Walaupun ada klausa 32 dalam perjanjian konsesi, kerajaan negeri boleh ambil alih tetapi kita dapat nasihat ini tidak boleh dipertimbangkan kerana ada beberapa perkara yang substantif dan prosedur yang tidak dapat dipenuhi Kerajaan Negeri Selangor dan Syabas. "Apa pun kita meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara dan Peguam Negara akan membuat keputusan muktamad dengan segera," katanya pada sidang media selepas jawatankuasa tersebut mengadakan pertemuan di sini semalam. Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala. Muhyiddin memberitahu, krisis air di Selangor kini berada dalam keadaan kritikal apabila lima daripada 34 buah loji rawatan air di negeri tersebut terpaksa mengeluarkan bekalan air terawat melebihi kapasiti sebenar. Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo! |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan