Rabu, 11 Julai 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


9 alasan sabitkan Anwar

Posted: 11 Jul 2012 02:29 PM PDT

Pendakwa pertahan sampel DNA kes liwat Saiful tak diusik

Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan mengemukakan sembilan alasan memohon Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dalam petisyen yang difailkan kelmarin, pendakwaan memohon Anwar disabitkan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat bekas pembantu peribadinya itu. Antara alasan ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang mendengar perbicaraan kes telah terkhilaf ketika memutuskan ada keraguan ke atas integriti sampel-sampel DNA yang diperoleh daripada Mohd Saiful.
Pendakwaan berkata, ini kerana Mohamad Zabidin dalam penemuannya menyatakan eLelaki Yf yang diperoleh melalui profil DNA dianalisis ahli kimia, Dr Seah Lay Hong adalah daripada ekstrak air mani yang berpadanan dengan profil DNA daripada sampel yang diambil dari lokap Anwar.

Selain itu, Mohamad Zabidin pada akhir kes pendakwaan sudah memutuskan tidak ada jalan untuk pegawai penyiasat, DSP Blacious Judy Pereira menggunakan sampel-sampel DNA yang diperoleh dari sel lokap untuk mengusik sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful.

Pihak pendakwaan juga berkata hakim sudah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mendapati ada keraguan terhadap integriti sampel DNA yang diperoleh daripada Mohd Saiful sedangkan hakim sudah pun memanggil Anwar membela diri terhadap pertuduhan meliwat pada akhir kes pendakwaan.

Hakim juga didakwa memberikan pertimbangan salah terhadap keterangan saksi pembelaan, Dr David Wells and Dr Brian Mc Donald yang menyatakan pendapat pakar pendakwaan dalam isu pengendalian sampel adalah tidak lengkap dan menyeluruh tanpa mengambil kira teori dan penulisan pakar lain.
Pendakwaan menegaskan, Dr Lay Hong dan Ahli Kimia, Nor Aidora Saedon mengesahkan bahawa pemeteraian pada bekas sampel DNA yang mereka peroleh daripada pegawai penyiasat masih utuh dan profil DNA berjaya diperoleh daripada sampel berkenaan.

"Yang arif hakim sudah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal memutuskan bahawa pihak pendakwaan sudah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah pada akhir kes pembelaan berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan," kata pihak pendakwaan.

Ke arah pemupukan semangat harmoni

Posted: 11 Jul 2012 02:25 PM PDT

Kuala Lumpur: Kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1984 dan digantikan Akta Keharmonian Nasional yang memberi penekanan terhadap pemupukan semangat harmoni serta saling menghormati masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

Ketika mengumumkannya malam tadi, Datuk Seri Najib Razak, berkata menerusi akta itu, kerajaan akan lebih bersedia menguruskan kepincangan dalam masyarakat, selain membantu memperkukuhkan perpaduan dan memupuk keharmonian agama. Ia juga lebih spesifik dan membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang menggunakan isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional.
Perdana Menteri berkata, rakyat termasuk pertubuhan berkaitan dipelawa mengemukakan pandangan mengenai perkara yang perlu ditangani ketika menggubal rang undang-undang itu dan Jabatan Peguam negara ditugaskan untuk meneliti pandangan pihak berkepentingan.

"Keputusan menggantikan Akta Hasutan 1948 adalah bagi mengenal pasti mekanisme dalam menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara selaras Perlembagaan Persekutuan dan keperluan menangani kesulitan kemajmukan di negara ini.

"Tanpa keseimbangan yang ideal, kita mungkin merencatkan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan, menumpulkan daya kreativiti serta sifat inovatif atau membebaskan semangat cauvinisme dan ekstremis," katanya pada majlis makan malam Jabatan Peguam Negara, malam tadi.

Beliau juga berkata, keseimbangan perlu dicapai dalam persekitaran masyarakat yang lebih terbuka dengan akses kepada lebuh raya maklumat yang menyebabkan limpahan maklumat, taraf pendidikan dan sosioekonomi yang semakin tinggi serta tahap harapan yang semakin meningkat.
Ketika pembentangan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) di Dewan Rakyat 16 April lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan mengkaji semula secara komprehensif Akta Hasutan 1948 tanpa mengetepikan sebarang opsyen, iaitu sama ada meminda peruntukan sedia ada atau memansuhkan akta sudah berusia lebih 64 tahun itu.

Najib juga berkata, akta baru itu akan mencerminkan komitmen jitu kerajaan mempertahankan semua agama dan kaum daripada perbuatan tidak bertanggungjawab.

"Perbuatan adu domba akan dianggap sebagai jenayah terhadap rakyat Malaysia. Kita harus bersikap bahawa jika ada mana-mana kaum atau agama disakiti, maka seolah-olah semua kaum dan semua agama rakyat Malaysia disakiti. Bak kata pepatah Melayu, cubit paha kanan maka paha kiri akan terasa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan