Selasa, 17 Julai 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Waspada amil palsu: MAIS

Posted: 17 Jul 2012 03:06 AM PDT

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai amil dan menjalankan kegiatan mengutip zakat fitrah secara pintu ke pintu rumah dan pejabat.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata walaupun kes berkenaan dianggap kecil, namun orang ramai perlu lebih prihatin termasuk meminta kad perakuan lantikan amil yang dikeluarkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 2,500 amil dan penolong amil di negeri itu. Beliau berkata, bayaran zakat fitrah digalakkan dibuat di masjid, surau atau 24 kaunter zakat yang dibuka di seluruh Selangor sepanjang Ramadan termasuk ketika cuti umum.
"Kita buka di semua cawangan LZS dan beberapa pusat beli-belah bagi memudahkan orang ramai menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah pada Ramadan ini," katanya.

Beliau turut mengumumkan kadar zakat fitrah di Selangor bagi tahun ini ialah RM7.

Mohamad Adzib berkata, sebanyak RM18 juta zakat fitrah dijangka dikutip daripada kira-kira 2.6 juta umat Islam Selangor tahun ini yang bertambah RM1 juta berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak RM17.53 juta wang zakat diperuntukkan untuk diagihkan kepada 22,923 keluarga fakir dan miskin di Selangor sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Sementara itu, mengulas mengenai prestasi kutipan zakat dan agihan bagi enam bulan pertama tahun ini, Mohamad Adzib berkata sebanyak RM146.9 juta zakat telah dikutip yang menyaksikan pertambahan 15 peratus atau RM19.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, agihan zakat bagi tempoh sama ialah sebanyak RM189.7 juta berbanding RM155.7 juta pada 2011.

Jumlah pembayar zakat juga mencatatkan peningkatan 10 peratus iaitu dari 133,855 orang pada tahun lalu kepada 147,480 orang bagi tempoh enam bulan tahun ini. - BERNAMA

Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2017

Posted: 17 Jul 2012 02:49 AM PDT

KUALA LUMPUR: Selepas 16 tahun sejak menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001, Malaysia sekali lagi akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-29 yang akan diadakan pada 2017.

Mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Myanmar hujung minggu lalu mengesahkan giliran Malaysia untuk menjadi tuan rumah sukan dwitahunan serantau itu pada 2017 berikutan tiada negara yang bersedia menawarkan diri sebagai tuan rumah. Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, yang menghadiri mesyuarat itu, berkata Sukan SEA 2013 akan diadakan di Myanmar dan selepas itu Singapura pula akan menjadi tuan rumah kejohanan pada 2015.
"Sepatutnya selepas itu giliran Brunei tetapi negara berkenaan mahu menjadi tuan rumah pada 2019 bukannya Sukan SEA 2017. Oleh itu, Malaysia bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017," katanya hari ini.

Kali terakhir Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah pada 2001 apabila Malaysia muncul juara keseluruhan dengan 111 pingat emas, diikuti Thailand (103) dan Indonesia (72).

Sejak Sukan SEA yang pertama di Bangkok, Thailand pada 1959, Malaysia sudah menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 1977, 1989 dan 2001.

Satu-satunya negara anggota ASEAN yang belum menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah Kemboja dan negara itu sudah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2021. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan