Khamis, 19 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Bekas pegawai bank cuba rompak guna pistol palsu dipenjara 42 bulan

Posted: 19 Jul 2012 03:17 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai bank dipenjara 42 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu cuba merompak, menggunakan pistol palsu dan memiliki senjata berbahaya.

Hakim Mahmud Abdullah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Eugene Khoo Kah Chong bagi pertuduhan cuba merompak dan 24 bulan bagi pertuduhan menggunakan pistol palsu.

Mahmud juga menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu dua bilah pisau dan dua senjata renjatan elektrik.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara 18 bulan dan 24 bulan berjalan berasingan manakala bagi tiga bulan penjara pula berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 6 Mac lalu.


Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Mahmud berkata mahkamah membuat keputusan selepas mempertimbang kepentingan awam, juga pengakuan bersalah tertuduh dan tertuduh juga tidak mempunyai kesalahan lampau.


Bagi pertuduhan pertama, Eugene, 37, didakwa cuba merompak Lau Sim Yoon, 35, seorang suri rumah, manakala bagi pertuduhan kedua dia didakwa menggunakan pistol palsu semasa cuba merompak wanita itu.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di tepi Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields, di sini pada 1 tengah hari, 6 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, dan Seksyen 32 (2) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun sebagai tambahan penalti kepada pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Eugene didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam di tepi Jalan Tun Mohd Fuad, TTDI, Brickfields, di sini pada masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan sebat.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa berada di dalam kereta yang diletakkan di tempat letak kereta di hadapan Pasar Besar TTDI sebelum tertuduh membuka pintu sebelah kiri bahagian depan kereta dan duduk di tempat penumpang serta mengacukan sepucuk pistol tiruan plastik berwarna hitam kepada wanita itu.

Mangsa kemudian keluar dari kereta lalu menjerit dan meminta bantuan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Jagjit Singh. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/19


Kementerian pengajian tinggi perketat syarat kemasukan pelajar asing ke IPTS

Posted: 19 Jul 2012 01:20 AM PDT

KUCHING: Kementerian Pengajian Tinggi memperketatkan syarat kemasukan pelajar asing ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan pas dan visa pelajar.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Hou Kok Chung berkata antara syarat baharu yang ditetapkan ialah wajib mempunyai Sijil Tiada Bantahan (NOC) selain mempunyai surat tawaran daripada IPTS untuk melanjutkan pelajaran di negara ini sebelum pas pelajar dapat diberi.

"Berbeza sebelum ini seseorang pelajar asing yang mahu melanjut pendidikan di Malaysia boleh datang ke sini dan memohon ke IPTS tempatan dan selepas berjaya barulah mereka memohon pas dan visa belajar di sini dan sebab itu kita tetapkan syarat baharu itu untuk mengawal kemasukan pelajar asing ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan IPTS Zon Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata kini terdapat kira-kira 53,000 pelajar asing kebanyakannya dari negara Iran, China dan Indonesia menuntut di 506 IPTS di seluruh negara selain 401,795 pelajar tempatan.


Menurutnya walaupun jumlah kes yang membabitkan penyalahgunaan pas dan visa pelajar asing di negara ini rendah namun pihak kementerian sentiasa mengambil langkah awal untuk menjaga standard pendidikan IPTS tempatan.


"Kementerian juga mahu pihak IPTS tempatan memberi lebih keutamaan pelajar asing yang mendapat tajaan belajar untuk menuntut di negara ini," katanya.

Mengulas masalah yang sering ditimbulkan oleh pelajar asing di negara ini beliau berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen untuk mengatasi masalah pelajar terbabit.

Menurutnya kebanyakan kes adalah membabitkan pelajar asing yang sudah tamat tempoh pengajian dan tempoh pas pelajar juga sudah tamat selain enggan pulang ke negara sendiri.

"Kebanyakan kes adalah mereka menyalahguna pas pelajar dan visa untuk tinggal lebih lama di Malaysia," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/19


Tiada ulasan:

Catat Ulasan