Khamis, 19 Julai 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pandangan pelbagai pihak dikaji sebelum benar pelajar bawa telefon bimbit

Posted: 19 Jul 2012 03:20 AM PDT

MUAR: Kementerian Pelajaran akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk masyarakat, guru-guru dan ibu bapa sebelum membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran itu hanya keputusan pada peringkat Jawatankuasa Disiplin Murid peringkat Kementerian Pelajaran dan belum dimuktamadkan. "Itu hanya keputusan di peringkat jawatankuasa, mereka belum bawa kepada pihak saya sama ada setuju atau tidak.
"Kita akan ambil kira pandangan semua pihak termasuk kesatuan guru yang tidak berapa setuju dengan keputusan itu dan dalam masa yang sama pandangan badan lain juga yang menyokong cadangan itu," katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas bantahan pelbagai pihak terhadap cadangan Jawatankuasa Disiplin untuk membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPAd ke sekolah menerusi Draf Peraturan Pendidikan Disiplin Murid 2012.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong pada Selasa.

Beliau yang sebelum itu menghadiri majlis Himpunan Mesra Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pesara-pesara kerajaan Parlimen Pagoh di sini, hari ini berkata, cadangan itu sebelum ini diusulkan setelah mengambil kira perkembangan semasa.
"Apabila sampai aspek keselamatan ada pihak yang berpandangan dengan adanya kemudahan seperti telefon bimbit ini pelajar-pelajar boleh hubungi pihak sekolah atau ibu bapa sedangkan peraturan sebelum ini tidak membenarkan.

"Tetapi kita juga ambil kira pandangan kalau itu boleh timbulkan banyak masalah seperti gangguan dalam proses pembelajaran, murid terpengaruh guna telefon bimbit dan internet sewaktu belajar dengan sibuk melayari facebook dan twitter," katanya.

Katanya, sebelum sebarang keputusan dibuat, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada Peguam Negara kerana ia berkaitan undang-undang.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas pandangan yang disuarakan menerusi media termasuk daripada kalangan tokoh akademik. - BERNAMA

Malaysia perlu pemimpin muda bangunkan negara: Najib

Posted: 19 Jul 2012 03:11 AM PDT

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan pemimpin belia yang mempunyai iltizam, semangat dan motivasi serta cita-cita yang tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta merubah landskap negara ke arah yang lebih baik.

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru pemimpin muda agar menjadi ketua yang bertanggungjawab, beretika dan boleh bergantung harap sebagai generasi penyambung sekaligus menggerakkan transformasi negara. "Saya berasa amat teruja, saya mendapat dorongan kerana saya berkhidmat untuk anda dan kita semuanya untuk anda dan inilah semangat kita.
"Dasar dan matlamat transformasi negara menyediakan peluang untuk menentukan mobiliti sosial yang lebih hebat lagi dan peluang pekerjaan serta peluang kepada golongan muda hari ini untuk masing-masing mencapai tahap maksimum mereka," katanya ketika berucap melancarkan Sekretariat Pemimpin Muda 1Malaysia For Youth (iM4U) di Bangunan Parlimen hari ini.

Najib turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan bekerja bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik di samping membuat perubahan secara lebih sistematik, teratur, tersusun dan berkesan dari segi pelaksanaannya.

"Kalau kita membuat sesuatu tanpa perancangan yang jitu, misalnya jika kita melakukan huru-hara ataupun kita melakukan perubahan yang berbentuk revolusi, kesannya akan lebih teruk daripada kita membuat pembaharuan berdasarkan cara yang lebih sistematik," katanya.

Sekretariat Pemimpin Muda iM4U terdiri daripada 20 orang wakil dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta Institut Pendidikan Guru yang memfokuskan kepada program kepimpinan dan sukarelawan di kalangan belia.
Ia juga akan mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil dari badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pelajar bagi meningkatkan daya kepimpinan orang muda dalam semua aspek. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan