Ahad, 8 Julai 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Wanita cedera dalam kejadian diragut

Posted:

Wanita cedera dalam kejadian diragut

08/07/2012 3:26pm

MELAKA - Seorang kerani wanita yang diragut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja semalam, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala hari ini.

Mangsa, Tang Mui Choo, 35, disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Melaka pada 7 pagi tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Supritendan R. Gunarajan berkata, ketika kejadian kira-kira 8.15 pagi semalam, mangsa yang menaiki motosikal sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kampung Lapan dari rumahnya di Taman Pokok Mangga di sini.

Beliau berkata, ketika melalui Jalan Benteng, Balai Panjang mangsa didatangi dua lelaki berpakaian serba hitam yang menaiki sebuah motosikal sebelum meragut beg tangan mangsa yang diletak dalam raga motosikal berkenaan.

"Ekoran itu, berlaku sedikit pergelutan apabila mangsa cuba merampas semula beg tangannya mengakibatkan mangsa terjatuh daripada motosikal," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, abang mangsa, Tang Ah Jit, 41, yang sedih dengan kejadian itu meminta pihak polis menangkap suspek dengan segera. — BERNAMA

Pemancing diselamat, bot hampir karam

Posted:

Pemancing diselamat, bot hampir karam

08/07/2012 3:24pm

JOHOR BAHARU - Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan sembilan orang termasuk tujuh pemancing selepas bot dinaiki mereka hampir karam dipukul ombak di muara Sungai Sedili Besar, dekat Kota Tinggi semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, turut diselamatkan ialah tekong dan awak-awak bot yang membawa tujuh pemancing terbabit.

APMM menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang pemancing pada pukul 6.29 pagi dan hasil maklumat itu APMM menggerakkan sebuah bot laju yang sedang melakukan operasi laut di kawasan berhampiran ke lokasi kejadian, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan pemancing tersebut baru sahaja meninggalkan Jeti Sedili Besar apabila mendapati keadaan laut berombak besar ketika tiba di muara sungai berkenaan.

Mereka cuba berpatah balik namun bot tersebut dipukul ombak besar ketika membuat pusingan, katanya.

Mereka yang diselamatkan ialah tekong bot Johari Ngah, 59, awak-awak Mohd Haszlan Selamat, 29, dan pemancing iaitu Mohd Abdul Rashid Mohamed, 27; Md Zaidi Mokhtar, 35; Md Zaiful Mohktar, 27; Mohd Yasin Kalyubi, 27; Mohd Fauzan Tarmin, 27; Mohd Hafiz Hisham, 30 serta Azwar Anas Mashhar, 23. — BERNAMA

Sukma: Tenpin Boling buka tirai esok

Posted:

Sukma: Tenpin Boling buka tirai esok

08/07/2012 3:22pm

KUANTAN - Gelanggang bagi acara tenpin boling temasya Sukan Malaysia (Sukma) mula membuka tirai esok menawarkan dua pingat emas bagi acara individu lelaki dan individu wanita.

Acara tenpin boling secara keseluruhannya menawarkan 13 pingat emas, 13 perak dan 13 gangsa menerusi enam acara kategori lelaki dan wanita akan berlangsung di Pusat Boling Megalane Megamall.

Penyelaras venue pertandingan bagi acara tersebut, Lim Wai Teng berkata semua persiapan di venue pertandingan berjalan lancar.

Beliau berkata semua pasukan yang mengambil bahagian dalam acara tenpin boling telah memulakan latihan penyesuaian hari ini.

"Kita telah melakukan persiapan yang terbaik dalam memastikan pertandingan berjalan lancar esok," katanya kepada Bernama hari ini.

Lim berkata antara acara yang dipertandingkan ialah acara beregu, berpasukan bertiga, berpasukan berlima, All event dan master bagi kategori lelaki dan wanita. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan