Rabu, 18 Julai 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bantu abang edar dadah

Posted: 17 Jul 2012 05:16 PM PDT

KAJANG: Seorang pelajar yang masih bersekolah di tingkatan empat di sini, didapati membantu abang dan kakak iparnya mengedar dadah secara kecil-kecilan ketika mereka ditahan di sebuah pangsapuri di Bandar Damai Perdana, Cheras, dekat sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab , remaja lelaki berusia 16 tahun itu ditahan bersama abang serta kakak iparnya masing-masing berusia 28 dan 30 tahun dan ketika serbuan serbuan pada jam 12.15 pagi, Jumaat lalu, Katanya, polis menemui 100 peket dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM8,000 dalam rumah berkenaan.


"Ujian air kencing terhadap abang remaja itu didapati positif dadah jenis heroin serta mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah.

"Mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu. Ketiga-tiganya direman hingga Jumaat ini," katanya.


Kini, ketiga-tiga mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.


Menurut Ab Rashid, ketiga-tiga mereka dipercayai membungkus semula heroin ke dalam bungkusan kecil seberat satu gram setiap satu sebelum dijual dengan harga RM80.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi memastikan kemungkinan pelajar berkenaan turut menjual dadah di sekolahnya.


Dalam tangkapan kedua, dua lelaki berusia 20-an ditahan di Tanah Perkuburan Cina Jalan Kuari di sini, jam 7.40 pagi, Sabtu lalu.

Menurut Ab Rashid, kedua-dua suspek yang juga penganggur itu ditahan bersama 11 peket heroin seberat 21.5 gram dianggar bernilai lebih RM1,000.


Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan pertama dalam pengedaran dadah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/18


Pisau Rambo kejutkan tidur

Posted: 17 Jul 2012 05:13 PM PDT

ALOR GAJAH: Dua penjenayah bersenjatakan pisau Rambo menyamun seorang peniaga kedai runcit dalam kejadian di Kampung Machap Umbo, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Law Yong Keong, 36, yang dikejutkan daripada tidur diikat tangannya oleh penjenayah terbabit dan mengalami kerugian lebih RM20,000.


Menurut Law, ketika kejadian dia tidur dalam bilik manakala ibu bapanya masing-masing berusia awal 60-an berada di kedai tidak jauh dari rumahnya.

"Saya terjaga daripada tidur selepas dua lelaki bersenjata pisau Rambo menyuruh bangun lalu muka saya ditutup menggunakan kain manakala tangan diikat dengan wayar kabel.


"Seorang daripada penjenayah mengugut mencederakan saya sekiranya tidak menunjukkan tempat wang jualan disimpan," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.


Menurutnya, dia yang bimbang dicederakan terpaksa memberitahu tempat menyimpan wang di atas almari pakaian.

Katanya, penjenayah itu merampas wang tunai, beg duit, jam tangan dan barang kemas kepunyaannya.


"Tidak lama selepas itu, saya terdengar seorang penjenayah meminta rakannya keluar selepas menyedari bapa saya balik dari kedai.

"Mereka keluar melalui pintu belakang sambil menjerit 'lari, lari, bapa dia sudah balik' lalu masuk ke dalam kereta dan melarikan diri ke arah jalan besar," katanya.


Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia melihat Proton Wira berwarna gelap dipandu laju dan masuk ke halaman rumah mangsa.


Katanya, dia tidak mengesyaki perkara buruk berlaku namun selepas beberapa minit, kereta berkenaan dilihat mengundur keluar.


"Saya tidak menyangka itu kereta penjenayah yang menceroboh masuk dalam kejadian samun sebelum melarikan barangan berharga serta wang tunai milik mangsa," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, kedua-dua suspek bersenjatakan pisau Rambo.


"Suspek melarikan wang tunai mangsa RM14,000 selain beberapa barang berharga lain dianggarkan melebihi RM20,000.


"Proton Wira yang dinaiki suspek dalam kejadian itu dipercayai kenderaan curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.


Beliau berkata, polis masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 (KK) Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/18


Tiada ulasan:

Catat Ulasan