Jumaat, 20 Julai 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


6 terima bantuan berganda

Posted: 19 Jul 2012 04:33 PM PDT

PELABUHAN KLANG: Enam penerima bantuan Tabung Budi Peka anjuran Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya (Peka) semalam menerima bantuan 'berganda' sempena Ramadan tahun ini.

Ini kerana semua mereka bukan saja mendapat manfaat penyambungan semula bekalan air tertunggak malah turut menerima bantuan barangan keperluan harian termasuk beras, gula, tepung dan minyak masak.


Presiden Peka, Datuk Mohd Yunus Mohd Amin berkata, penerima bantuan Tabung Budi Peka kali ini turut menerima pakaian bagi memastikan beban golongan itu dapat diringankan.

"Selain menyambung semula bekalan air selepas dipotong akibat tunggakan, kali ini Peka turut menghulurkan sumbangan seperti barangan keperluan harian kepada penerima bagi memastikan mereka dapat menyambut puasa dengan lebih bermakna," katanya kepada media pada Majlis Bantuan Tabung Budi Peka daerah Klang dan Pelabuhan Klang, di sini, semalam.


Sementara itu, enam penerima Tabung Budi Peka ditemui melahirkan rasa gembira kerana bantuan diberikan disifatkan kena pada masanya iaitu menjelang Ramadan.


Penerima bantuan, Endy Ahmad Ibrahim, 40, berkata bantuan barangan makanan itu di luar dugaannya kerana jasa pihak Tabung Budi Peka melunaskan tunggakan dan menyambung semula bekalan air adalah sesuatu yang sangat berharga.

"Saya amat bersyukur masalah ketiadaan air sejak 29 Mei lalu disambung semula dan gembira serta menghargai pemberian bantuan makanan untuk persediaan Ramadan ini," katanya.


Beliau mempunyai lapan anak bergantung hidup dengan berniaga di pasar malam berdekatan, sekadar memperoleh pendapatan bersih RM800 sebulan.

Dia berkata, ekoran pendapatannya yang merundum sejak awal tahun ini menyebabkan dia gagal membayar bil air sejak dua bulan lalu hingga tertunggak sebanyak RM476.35.


Lima penerima lain adalah Jamila Kamis, 42, Shamsiah Atan, 38, Marzuki Said, 42, Azura Mohd Aris, 38 dan Kalsom Ahmad, 40.


Turut hadir menyerahkan bantuan, Ketua Wilayah Pengurus Kanan Wilayah Klang, Khairul Anuwar Ismail dan Pengurus Tabung Budi, Hashimah Che Mat Din.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20


Kilang haram dikesan eksport minyak masak

Posted: 19 Jul 2012 04:31 PM PDT

GOMBAK: Sebuah kilang dikesan beroperasi secara haram apabila dipercayai membeli minyak masak daripada pembekal subsidi dilantik sebelum membungkus dan mengesksport minyak itu ke luar negara.

Difahamkan, pemilik kilang beroperasi di Taman Industri IKS, Taman Batu Muda, di sini, mengaut keuntungan berlipat ganda melalui penjualan semula minyak masak bersubsidi dengan anggaran keuntungan hampir RM200,000 sebulan.


Bagaimanapun, kegiatan mereka dipercayai sudah aktif sejak setahun lalu tumpas selepas diserbu pihak berkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), petang semalam.

Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Latifah Mat Yatim berkata, dua kilang termasuk premis itu disyaki menjalankan operasi penyelewengan minyak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20


Tiada ulasan:

Catat Ulasan