Selasa, 17 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Universiti Teknologi Malaysia juara Robocon 2012

Posted: 17 Jul 2012 05:35 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Kumpulan B Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul juara pertandingan mencipta robot peringkat kebangsaan (Robocon) 2012 ke-11 apabila berjaya menewaskan Pasukan Musang King dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Balik Pulau pada aksi akhir di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil penyertaan beserta piala iringan dan seterusnya melayakkan kumpulan itu mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa di Hong Kong yang bertemakan "Ke Arah Keamanan dan Kemakmuran" pada Ogos ini.

Bagi wakil Kumpulan B UTM, S. Yuvarajoo, 23, dari jurusan kejuruteraan Elektrik UTM, pihaknya yang mempunyai seramai 30 orang wakil berbangga dapat membawa cabaran UTM mempertahankan kejuaraan tiga tahun berturut-turut dan muncul kejuaraan buat kali kelapan sejak pertandingan Robocon diperkenalkan pada 2002.

"Kami tidak sangka mampu mengenepikan cabaran universiti lain dan berjaya ke tahap ini di mana kita juga mempunyai kumpulan lain dalam UTM yang hebat.


"Kemenangan ini memang dinantikan pasukan kami dan akan meningkatkan lagi kebolehan dan keupayaan robotik kita untuk persiapan menghadapi cabaran di Hong Kong nanti," katanya kepada pemberita selepas tamat pertandingan itu.


Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Pertandingan yang berlangsung selama empat hari bermula Sabtu itu disertai oleh 427 peserta dan yang pertama kali diadakan di luar Lembah Klang.

Sebanyak 61 pasukan dari 44 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, politeknik dan kolej komuniti serta institut latihan kemahiran dari seluruh negara mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Pasukan Musang King yang meraih tempat kedua menerima RM7,000 dan sijil penyertaan.

Robocon 2012 dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama kerajaan negeri, UTM, SIRIM dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/17


Suami pasangan mangsa kebakaran meninggal dunia

Posted: 17 Jul 2012 05:32 AM PDT

KUANTAN: Mangsa yang melecur teruk dalam kebakaran di sebuah rumah di Pekan semalam, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), petang tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata Abdul Karim Mohamad, 39, yang dirawat di wad unit rawatan rapi (ICU) di HTAA meninggal akibat melecur teruk di seluruh anggota badan pada 5.09 petang tadi.

"Sekarang proses tuntutan sedang dibuat oleh keluarga untuk pengebumian manakala isterinya Saidah Talib, 35, yang turut mengalami kecederaan akibat melecur seluruh badan masih kritikal dan dirawat di HTAA," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 pagi semalam, anak lelaki pasangan itu, Mohd Amri Abu Bakar, 16, bertindak berani menyelamatkan ibu kandung dan bapa tirinya di dalam bilir tidur mereka yang sedang terbakar.


Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan itu bertindak menendang pintu bilik ibu bapanya yang sedang terbakar sebelum bertindak menyimbah air dan mengheret kedua-dua orang tuanya keluar dari bilik berkenaan.


Sebelum itu Mohd Amri turut membawa kedua-dua adik perempuannya Nurazalina Abu Bakar, 11, dan Noraini Abu Bakar, 5, yang tidur di ruang tamu, keluar dari rumah berkenaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/17


Tiada ulasan:

Catat Ulasan