Isnin, 9 Julai 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pembantu penyelia DUN didakwa buat tuntutan palsu RM1 juta

Posted: 09 Jul 2012 02:14 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Seorang Pembantu Penyelia Agensi Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Hulu Terengganu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu RM1 juta, empat tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Md Sayuti Daud, 52, didakwa memberi dokumen mengandungi senarai nama penerima Dana Kebajikan LRTSB dengan jumlah 500 orang iaitu sebanyak RM2,000 untuk setiap seorang, yang keseluruhannya berjumlah RM1 juta kepada seorang ejen iaitu Che Nor Aidah Aman, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan LRTSB di Pejabat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRTSB) yang beralamat di No. 1797, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai, di sini antara Feb hingga Mei 2008. Tertuduh bagaimanapun mengetahui dokumen itu mempunyai butiran palsu mengenai senarai nama penerima, iaitu seramai 30 orang penama didapati meninggal dunia dan 40 penama lagi tidak wujud.
Perbuatan itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Undang-undang Malaysia Akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Md Sayuti juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu pada tempat dan tarikh yang sama, memalsukan satu dokumen iaitu senarai nama penerima Dana Kebajikan LRTSB dengan jumlah keseluruhan 500 orang iaitu sebanyak RM2,000 untuk setiap seorang, yang keseluruhannya berjumlah RM1 juta dengan niat hendak menggunakan dokumen terbabit untuk tujuan menipu. - BERNAMA

Polis tahan 2 kenalan Uncle Seekers bantu siasatan

Posted: 09 Jul 2012 01:41 AM PDT

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan terhadap pengkaji aktiviti paranormal, Syed Abdullah Syed Hussesin Al-Attas, yang mengendalikan laman blog www.uncleseekers.blogspot.com berhubung kenyataannya yang didakwa memfitnah Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Jabatan Siasatan Jenayah Johor dalam kenyataan hari ini, berkata kedua-dua lelaki berumur 23 dan 24 tahun yang merupakan kenalan Syed Abdullah itu ditahan pada jam 9.30 malam tadi, di Jalan Pantai Kundor, Tanjung Kling, Melaka. "Kedua-dua mereka ditahan sepasukan anggota polis yang diketuai Asisten Superintendan Wong Chee Mean dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan. Polis turut merampas beberapa peralatan komputer daripada mereka," kata kenyataan itu.
Syed Abdullah, 46, atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers kini ditahan reman bersama seorang wanita berumur 26 tahun sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kedua-dua mereka ditahan di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan, pada jam 9.45 malam, Rabu lalu. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan