Rabu, 18 Julai 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Skim persaraan rakyat

Posted: 18 Jul 2012 09:46 AM PDT

PM lancar Skim Persaraan Swasta untuk semua golongan

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan penubuhan Skim Persaraan Swasta (SPS) yang dirangka khusus untuk memenuhi keperluan persaraan rakyat, terutama yang bekerja sendiri dan tidak menyertai sebarang skim persaraan. Buat permulaan, 24 dana diuruskan oleh enam daripada lapan penyedia SPS yang diluluskan, akan ditawarkan di bawah skim itu mulai September ini.
SPS adalah skim pelaburan sukarela yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk membantu orang ramai membuat simpanan masa tua.

Selain secara individu ia membuka peluang kepada majikan membuat caruman tambahan secara sukarela untuk tabungan simpanan persaraan kakitangan mereka.

Pelancaran SPS itu melengkapkan skim persaraan untuk rakyat, selain dana pencen bagi kakitangan awam dan caruman pekerja menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Ketika pelancaran itu, Perdana Menteri berkata, matlamat negara adalah untuk memiliki pelbagai skim persaraan yang cergas dan mapan bagi manfaat generasi Malaysia akan datang.

"Harapan saya adalah untuk memastikan setiap orang dewasa produktif yang masih muda dan generasi Malaysia akan datang mempunyai tabungan dan simpanan aset kewangan yang mencukupi bagi membolehkan mereka menikmati sepenuhnya persaraan nanti.

"Dengan meningkatnya purata jangka hayat rakyat kepada 80 tahun, generasi masa depan akan mempunyai lebih 20 tahun untuk menikmati kehidupan selepas persaraan.

Mesejnya amat jelas, iaitu rakyat Malaysia sebagai pengguna bijak mesti berusaha lebih untuk menabung," katanya.

Najib berkata, bagi menarik pekerja, majikan disaran menawarkan pakej ganjaran untuk pekerja menyertai skim itu dan memberi kebebasan kepada mereka membuat keputusan mengenai jenis skim yang disertai.

Beliau juga berkata, perkembangan industri pencen swasta berpotensi mengubah landskap persaraan negara dengan meningkatkan perlindungan secara sukarela kepada semua rakyat supaya mempunyai tabungan tambahan apabila bersara.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan empat inisiatif bertujuan memaju dan menggalakkan lagi penyertaan rakyat dalam pasaran modal negara.

Inisiatif itu ialah penubuhan platform dagangan khusus untuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat bukan senaraian awam, penubuhan Pasaran Merchantile untuk dagangan emas dan logam berharga, menganjurkan kempen pelabur bijak kebangsaan di seluruh negara dan pengenalan ejen pelaksana dan wakil pembangunan perniagaan sebagai wakil kepada remisier.

Teliti tawaran sebelum buat pilihan SPS

Posted: 18 Jul 2012 09:34 AM PDT

Kakitangan swasta kena faham manfaat pelan ditawar September

Kuala Lumpur: Kakitangan sektor swasta disaran supaya meneliti 24 Skim Persaraan Swasta (SPS) yang akan ditawarkan lapan penyedia skim berkenaan mulai September ini sebelum membuat pilihan masing-masing. Pengerusi Pentadbir Pencen Swasta (PPS), Zaiton Mohd Hassan ketika ditemui selepas pengumuman pelantikannya, berkata ia bagi memastikan mereka memahami manfaat yang diperoleh daripada skim berkenaan.
"Jangan terburu-buru dan sebaiknya banyak bertanya untuk memastikan anda benar-benar faham mengenai skim yang ditawarkan," katanya selepas pelancaran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain pelantikan Zaiton yang juga Pengarah Urusan Capital Intelligence Advisors Sdn Bhd, Suruhanjaya Sekuriti mengumumkan empat ahli lembaga pengarah, iaitu bekas Pengarah Bahagian Pengurusan Bajet Kementerian Kewangan, Datuk Nozirah Bahari; ahli Kumpulan Kerja Majlis Ekonomi, Datuk Dr R Thillainathan; Penasihat Global Missions Integration and Government Strategy IBM Malaysia Sdn Bhd, Ou Shian Waei dan Pengurus Besar Kanan Pembangunan Perniagaan UEM Group Berhad, Ahmad Zakie Ahmad Shariff.

Sebagai pusat sehenti, PPS memainkan peranan penting sebagai infrastruktur yang memudahkan SPS dilaksanakan dengan mewujudkan pentadbiran yang cekap.

Pemegang akaun akan mempunyai akses mudah kepada maklumat dan pemindahan dana. SC pula mengawal selia dan mengawal semua pengantara dalam industri SPS, merangkumi Penyedia SPS, PPS dan Pemegang Amanah Skim serta pengedar SPS.
Zaiton berkata, penyertaan skim ini adalah secara sukarela dan sehubungan itu semua pihak terbabit wajar membuat keputusan mengikut penilaian sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan