Khamis, 12 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kelantan terima Piala Liga Super di Kota Bharu Sabtu ini

Posted: 12 Jul 2012 04:45 AM PDT

KOTA BHARU: Kelantan akan menerima Piala Liga Super selepas pasukan itu melengkapkan jadual pertandingan menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, Sabtu ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Rosmadi Ismail berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk menyampaikan piala berprestij itu di hadapan peminat dan penyokong pasukan itu.

Beliau berkata perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika menghubunginya hari ini ekoran rayuan KAFA, dua hari lepas.

Sebelum ini, FAM mengumumkan akan mengadakan majlis penyampaian piala tersebut di Wisma FAM di Kelana Jaya, Petaling Jaya, pada 20 Julai ini.


Bagaimanapun pada hari tersebut, pasukan 'The Red Warriors' akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab Liga Perdana Inggeris, Queen Park Rangers (OPR) di Stadium Shah Alam, Selangor.


Walaupun baki satu perlawanan Liga Super, Kelantan dinobatkan juara liga Sabtu lepas setelah mengumpul 57 mata dan pasukan Singapura, Lions XII diumumkan sebagai naib johan musim ini selepas mengumpul 50 mata.

Mengenai perlawanan persahabatan dengan QPR, Rosmadi berkata pasukan Inggeris itu akan bertemu dengan peminat di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu pada 19 Julai ini pada tengah hari sebelum menjalani latihan bersama Kelantan pada sebelah petang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Kedua-dua pasukan kemudiannya akan diraikan dalam satu majlis makan makan di hotel berkenaan sebelum bertolak ke Shah Alam.

Badan Perhubungan Umno Kelantan akan menaja kos pengangkutan 40 buah bas untuk membawa penyokong Kelantan ke Stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan persahabatan tersebut. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12


Sukma: Pemanah 12 tahun raih emas bagi acara 70m Recurve Wanita

Posted: 12 Jul 2012 03:07 AM PDT

KUANTAN: Pemanah cilik dari Terengganu, Nuramalia Haneesha Mazlan melakar kejutan dengan meraih pingat emas dalam acara 70 meter Recurve individu wanita pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Pahang ke-15 di sini, hari ini.

Hanya berbekalkan latihan selama enam bulan, Nuramalia Haneesa nyata menyerlah apabila mengalahkan pemanah dari Melaka dan Johor dengan pungutan 299 mata.

"Ketika di 'first end' (pusingan), saya tidak begitu yakin, tetapi saya dapat membuat panahan terbaik ketika di'last end'.

"Jumlah mata panahan saya di 'last end' banyak membantu memberi kejayaan. Kejohanan Sukma kali ini merupakan penampilan pertama dan gembira dapat sumbang satu pingat emas kepada Terengganu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Sementara itu, Nuratiqah Azizi dari Melaka dan Nurhuda Azida Zolkifli dari Johor, masing-masing di tempat kedua dan ketiga berkongsi jumlah mata yang sama sebanyak 296.


Bagaimanapun, Nuratiqah mempunyai kelebihan lapan mata berbanding Nurhuda dua mata di bulatan panahan '10s' pada kejohanan itu.

Nuramalia Haneesa berkata beliau mula berjinak-jinak dalam sukan memanah seawal usia sembilan tahun dan bercita-cita mahu menjadi seorang atlet pemanah negara seperti Cheng Chu Sian.

"Sasaran saya lepas ini dapat tersenarai dalam skuad kebangsaan dan mewakili negara dalam temasya yang lebih mencabar di masa akan datang," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12


Tiada ulasan:

Catat Ulasan