Isnin, 2 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Lelaki warga India maut rumah kedai terbakar

Posted: 02 Jul 2012 07:09 AM PDT

GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga India maut dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Lebuh King, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba Lebuh Pantai, Ismail Md Zin berkata dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa Arokkiaraj, 34, ditemui terperangkap dalam timbunan runtuhan siling di salah sebuah bilik rumah kedai dua tingkat itu.


"Pasukan penyelamat menemui mangsa terlentang dengan kesan melecur hampir 50 peratus dan kami dapati dia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini.

Difahamkan, rumah kedai itu diubahsuai dan dipecahkan menjadi lima bilik serta disewakan kepada pekerja asing.

Sewaktu kejadian mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai kain sedang tidur di rumah itu berseorangan.

Ismail berkata 33 anggota bersama lima jentera bergegas ke tempat kejadian dan pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit.

"Struktur rumah kedai yang diperbuat daripada papan menyebabkan api merebak begitu pantas dan sebahagian bangunan terjejas teruk susulan kejadian itu," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama


Anggota polis cedera parah ditembak

Posted: 02 Jul 2012 07:08 AM PDT

JOHOR BAHARU: Seorang anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Nusajaya bertarung nyawa selepas ditembak empat kali di luar sebuah pusat hiburan di Nusa Bestari pagi tadi.

Konstabel Snilus Lembik, 24, yang berasal dari Salim, Sibu, Sarawak ditembak apabila seorang lelaki merampas pistolnya jenis Walther P99 dan menembak bahagian perutnya sebanyak empat kali.

Kejadian berlaku kira-kira 4 pagi apabila dikatakan timbul satu pergaduhan antara mangsa dengan lelaki tersebut yang dipercayai mabuk selepas minum di pusat hiburan itu yang terletak di tingkat satu premis berkenaan, ketika berlangsung perlawanan akhir Piala Euro 2012 antara Sepanyol dan Itali.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Noor Hashim Mohamed yang mengesahkan kejadian itu berkata polis sampai ke tempat kejadian beberapa minit selepas dimaklumkan mengenai pergaduhan itu.


"Kita menahan empat lelaki berusia 18 hingga awal 20-an termasuk lelaki yang melepaskan tembakan itu," katanya.


Menurut beliau, Snilus yang kini berada di dalam keadaan koma ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah di sini.

Kes diklasifikasikan sebagai cubaan bunuh yang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, ibu bapa Snilus sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan akan tiba di Lapangan Terbang Senai malam ini.

Snilus yang masih bujang bertugas sebagai anggota polis hampir tiga
tahun. - bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan