Ahad, 1 Julai 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Bukit Aman, Penjara mengaku

Posted: 01 Jul 2012 08:38 PM PDT

» Banduan, warden, polis terbabit edar dadah dikesan

KUALA LUMPUR: Polis dan Jabatan Penjara mengakui polis serta warden terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di penjara. Sehubungan itu kedua-dua pihak sedang menyiasat untuk mengesan dalang kegiatan itu bagi memastikan tembok penjara kebal daripada cubaan penyeludupan dan pengedaran barangan terlarang.

"Polis sudah berbincang dengan Jabatan Penjara dan sedang merangka langkah khusus menanganinya. Kita sedang merancang sesuatu" - Noor Rashid Ibrahim, Pengarah JSJN Bukit Aman

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata bagi tujuan itu polis dan Jabatan Penjara akan merangka mekanisme khusus termasuk meningkatkan pemantauan dan risikan.

Beliau memberi amaran mereka yang disyaki mengedar dadah akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti sama ada polis atau pegawai penjara dalang kegiatan itu.

Biasanya transaksi berlaku di luar seperti ketika perbicaraan atau ketika ahli keluarga melawat banduan.
"Polis sudah berbincang dengan Jabatan Penjara dan sedang merangka langkah khusus menanganinya. Kita sedang merancang sesuatu," katanya kepada BH semalam,

Beliau mengulas pendedahan akhbar ini mengenai penyeludupan dan pengedaran dadah serta barang larangan lain dalam penjara dengan bantuan warden dan polis yang diberi upah.

Warden dan polis terbabit dikatakan menerima komisen 30 hingga 50 peratus bagi setiap barang dijual, manakala banduan yang mengetuai rangkaian itu pula mampu meraih sehingga RM20,000 sebulan.

Dijual lebih mahal

Dadah dijual 10 kali ganda lebih mahal berbanding harga pasaran dan diseludup menggunakan pelbagai cara termasuk dimampatkan dalam plastik sebelum dimasukkan ke dubur ketika banduan dibawa polis ke lokap mahkamah atau balai transit.

Warden pula didakwa menyeludup dadah menggunakan dompet, topi, pakaian dan plastik nipis yang dilekatkan pada badan sebelum diserahkan kepada banduan.

Sementara itu, Ketua Unit Sekretariat Jabatan Penjara, Supri Hashim mengakui ada pegawai penjara dikesan terbabit dalam kegiatan itu sudah dibuang kerja, ditahan dan dihukum penjara.

"Tindakan terhadap banduan terbabit kesalahan tatatertib kerana menyimpan atau menyalahguna dadah pula dikenakan hukuman termasuk sebatan rotan," katanya dalam satu kenyataan.

Pemandu teksi dapat faedah PERKESO

Posted: 01 Jul 2012 04:13 PM PDT

Najib sedia kaji cadangan tingkat perkhidmatan

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mengkaji cadangan memberi faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada pemandu teksi. Cadangan itu dilihat munasabah kerana pada masa ini belum ada peruntukan di bawah skim PERKESO untuk melindungi rakyat Malaysia yang bekerja sendiri.

"Kita sedang kaji perkara ini dan mungkin tak lama lagi boleh buat keputusan untuk dipertimbangkan." - Datuk Seri Najib Razak

Datuk Seri Najib Razak berkata, undang-undang PERKESO mengehadkan perlindungan kepada mereka yang bergelar pekerja saja dan tiada peruntukan untuk mereka yang bekerja sendiri.

"Kita sedang kaji perkara ini dan mungkin tak lama lagi boleh buat keputusan untuk dipertimbangkan.

"Tapi sebelum itu kita bantulah, bagi satu set tayar dan insurans seperti saya umumkan baru-baru ini," kata Perdana Menteri ketika ditemubual pada rancangan Suara Kami 2012 yang disiarkan Astro Awani, malam tadi.

SPAD buat dialog
Selain itu, Najib berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sudah diarahkan untuk mengadakan sesi dialog dengan wakil persatuan teksi dalam usaha merangka model baru untuk industri perkhidmatan teksi.

Menyedari banyak kelemahan dalam sistem sedia ada, Najib berkata, model baru itu penting agar perkhidmatan teksi di negara ini lebih cekap dan memberi kepuasan kepada orang ramai.

"Kedua, kita mesti jaga kebajikan dan kepentingan pemandu teksi yang hari ini menghadapi tekanan dan saya rasa tak wajar kita kekal sistem sedia ada," katanya.

Rancangan Suara Kami 2012 itu mengumpulkan pandangan serta cadangan rakyat pelbagai latar belakang dari seluruh negara untuk memajukan tahap kehidupan semasa masing-masing.

Suara-suara terbaik dipilih untuk hadir ke rancangan kemuncak di Astro bersama tetamu khas yang boleh memberikan susulan dan penjelasan kepada isu yang dibangkitkan.

Ditanya bagaimana beliau memastikan tiada rakyat tersisih dalam pembangunan negara, terutama dengan program transformasi yang beliau perkenalkan, Najib berkata, senjata paling berkesan adalah melalui pendidikan.

Lancar program 1M4U

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan bakal melancarkan program 1Malaysia Youth For You (1M4U) bagi menggalakkan lebih ramai generasi muda menyertai aktiviti sukarela.

Melalui program itu, katanya, generasi muda bakal mendapat sokongan sewajarnya untuk melakukan aktiviti yang membawa manfaat kepada masyarakat, termasuk melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan beri sokongan dan sedikit bantuan kewangan supaya mereka boleh menyertainya.

"Misalnya nak jaga alam sekitar. Mereka boleh buat aktiviti berkenaan dan aktiviti itu akan disokong kerajaan.

"Dengan ini kita dapat semarakkan pembabitan generasi muda dan boleh memberi kesan baik dalam masyarakat. Di samping itu, dapat menggalakkan percambahan kegiatan melalui NGO," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan