Selasa, 1 Mei 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Pelajar UMP dikhuatiri lemas di Air Terjun Bekelah

Posted:

Pelajar UMP dikhuatiri lemas di Air Terjun Bekelah

Pelajar UMP dikhuatiri lemas di Air Terjun Bekelah

01/05/2012 7:17pm

KUANTAN - Seorang pelajar lelaki Universiti Malaysia Pahang (UMP) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air ketika mandi-manda di kawasan perkelahan Air Terjun Bekelah dekat Gambang, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Ang Kent Chin, 21, dipercayai lemas kira-kira pukul 10.30 pagi tadi selepas memasuki kawasan terbabit lebih kurang pukul 8 pagi.

Difahamkan mangsa bersama rakan-rakannya ke kawasan perkelahan itu untuk melakukan aktiviti kegiatan kokurikulum mereka.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya yang menerima panggilan sejurus selepas kejadian itu terpaksa berjalan kaki selama tiga jam ke lokasi kejadian kerana tempat mangsa lemas berada di tingkat atas sekali air terjun terbabit.

"Buat masa ini kerja-kerja menyelamat sedang giat dijalankan bersama-sama dengan polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya di sini hari ini.

Katanya, kerja-kerja menyelamat kini dihentikan sebentar kerana hujan lebat di tempat kejadian dan sekiranya mangsa belum ditemui sehingga petang ini, operasi akan disambung esok. - BERNAMA

Tiga maut selepas bas langgar tembok plaza tol

Posted:

Tiga maut selepas bas langgar tembok plaza tol

Tiga maut selepas bas langgar tembok plaza tol

01/05/2012 6:39pm

KUALA LUMPUR - Tiga orang, termasuk pemandu bas, maut manakala tiga lagi cedera selepas bas persiaran yang mereka naiki melanggar tembok pembinaan plaza tol baru Sungai Buaya, Rawang di KM434 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan pada pukul 1.50 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt. Norel Azmi Yahya Afendi berkata, bas yang membawa 48 penumpang dari Chenderiang, Perak, menuju ke Melaka itu hilang kawalan sebelum melanggar tembok dan terbalik di atas lebuh raya.

Beliau berkata, mangsa yang maut ialah pemandu bas S. Velmurugu, 44, serta dua penumpang iaitu K. Vimala, 54, dan M. Setap, 46.

Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat.

Tiga penumpang yang cedera ialah R. Fahdilah, 14, dan Raja Nor Hayer Raja Yusof, 57, masing-masing patah tangan kanan manakala Salbiah Abdul Rahman, 64, pula mengalami kecederaan di kepala.

Kesemua mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Norel Azmi berkata, ketika kejadian, keadaan cuaca amat baik tetapi lokasi kemalangan dilaporkan gelap kerana tiada lampu jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Promosi candat sotong ke arena antarabangsa

Posted:

Promosi candat sotong ke arena antarabangsa

Promosi candat sotong ke arena antarabangsa

01/05/2012 4:46pm

MARANG - Aktiviti mencandat sotong di perairan Terengganu akan dipromosikan di peringkat antarabangsa sebagai satu daripada tarikan ke Malaysia khususnya ke Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Terengganu, Mohd. Nasir Kushairi berkata, bagi tujuan itu, 44 pejabat Tourism Malaysia di seluruh dunia akan mempromosi aktiviti itu.

Bagi menjayakan aktiviti itu, katanya Tourism Malaysia negeri dengan kerjasama agensi pelancongan, pengusaha bot dan hotel akan menyediakan pakej lebih menarik bagi aktiviti mencandat sotong.

"Beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan agensi berkaitan sudah dilakukan untuk memastikan pakej disediakan selaras daripada segi kemudahan, keselesaan dan kadar harga," katanya - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan