Kosmo Online - Negara |
Samun guna kereta peronda trafik Posted: Samun guna kereta peronda trafik
KUANTAN - Seorang penjenayah bertindak berani melarikan kereta peronda trafik dan sempat berhenti untuk menyamun dua mangsa sebelum dia sendiri mati ditembak dalam kejadian di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat sini semalam. Lelaki terbabit, Chiang Hon Hing, 39, yang berasal dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dikatakan memberhentikan kenderaannya di tepi jalan susur masuk Plaza Tol Lanchang, LPT menghala ke Kuantan sebelum sebuah kereta peronda trafik jenis Proton Waja yang dinaiki dua anggota berhenti menyiasat pada pukul 1.10 pagi semalam. Dua anggota itu bagaimanapun dikejutkan dengan tindakan Hon Hing mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan tetapi tersasar. Suspek kemudian sempat melarikan kereta peronda itu dan dikejar pula oleh sebuah lagi kereta peronda trafik yang kebetulan melalui jalan berkenaan. Namun, suspek berjaya meninggalkan kenderaan itu di belakang dan berhenti di Kilometer 113.6 lebuh raya untuk menyamun dua lelaki yang turut menaiki sebuah kereta Proton Waja. Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani pada sidang akhbarnya di sini semalam memberitahu, kedua-dua mangsa tidak dicederakan tetapi suspek telah meninggalkan kereta peronda itu dan melarikan pula kenderaan mereka. "Suspek terus memecut sehingga ke Tol Jabor dan apabila ternampak sekatan jalan raya di situ dia berpatah balik menghala ke arah Kuala Lumpur. "Tiba di Kilometer 249.2, kereta yang dipandu suspek rosak dan berlaku kejadian tembak menembak antara dia dengan anggota polis yang menaiki kereta peronda yang mengejarnya dari Jabor," katanya. Hon Hing yang rebah di atas jalan raya selepas cedera ditembak di perut disahkan mati di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. Dalam kejadian itu, seorang anggota polis, Lans Koperal Mohd. Jarizan Md. Jid turut cedera setelah terkena tembakan di lengan kanannya. Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol jenis Baretta yang digunakan suspek. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. | ||
Tolong jangan kaitkan saya - Nora Posted: Tolong jangan kaitkan saya - NoraOleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT KUALA LUMPUR - Pelakon popular Nora Danish menyangkal khabar angin yang tersebar di internet mendakwa dia punca pergolakan rumah tangga aktor Adi Putra dan isterinya, Aida Yusoff. Tegas Nora, dakwaan itu tidak masuk akal memandangkan antara dia dan Adi memang tiada hubungan istimewa. "Saya dan Adi hanya berhubung ketika kerja. Selepas waktu kerja, kami tidak pernah keluar bersama. Sepanjang mengenali Adi, kami juga tidak pernah berkongsi kisah peribadi. "Adi sendiri tidak suka menceritakan masalah rumah tangganya kepada saya," jelas Nora ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam. Akhbar sebelum ini melaporkan Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 31, telah memfailkan permohonan cerai terhadap Aida di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu iaitu dua hari selepas beliau pulang daripada menunaikan umrah. Adi dan Nora sama-sama menunaikan umrah kerana kedua-duanya merupakan duta kepada sebuah syarikat yang menawarkan pakej umrah. Nora turut menyatakan perasaan terkejut dengan tindakan Adi itu kerana aktor kacak tersebut dikatakan tidak menunjukkan sebarang tanda menghadapi masalah rumah tangga semasa mereka berada di Mekah dan Madinah. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. | ||
Posted: 'Saya mohon maaf'
KUALA LUMPUR - Pelakon jelita, Nora Danish semalam memohon maaf berikutan penyiaran gambar-gambar seksinya dalam sebuah majalah hiburan yang berada di pasaran sewaktu dia berada di Tanah Suci Mekah baru-baru ini. "Saya akui gambar-gambar saya yang tersiar itu agak melampau dan mengaibkan saya. "Saya sendiri berasa malu kerana berpakaian sebegitu tambah lagi dengan status saya sebagai ibu tunggal. Saya tahu itu salah saya, saya mohon maaf kepada semua pihak atas keterlanjuran saya," katanya ketika dihubungi di sini semalam. Nora sebelum ini dikritik kerana membenarkan aksi ghairahnya dirakam sebelum disiarkan dalam majalah tersebut untuk keluaran bulan ini. Menjelaskan keadaan, katanya, sesi fotografi untuk majalah tersebut sebenarnya telah dilakukan sejak awal tahun ini. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan