Rabu, 23 Mei 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


NS hanya jual air ke Selangor jika ada lebihan: MB

Posted: 23 May 2012 03:23 AM PDT

Mutakhir

SEREMBAN: Negeri Sembilan hanya akan menjual air kepada Selangor jika keperluan di negeri itu dipenuhi dan terdapat lebihan bekalan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata buat masa ini, kerajaan negeri masih dalam peringkat perbincangan awal dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung perkara tersebut.

"...kita pun masih lagi menunggu loji Ngoi-Ngoi ini boleh beroperasi pertengahan tahun ini. Ini disebabkan kita hendak pastikan bekalan air di daerah Seremban ini mencukupi dulu sebelum kita menyatakan persetujuan untuk menjual air yang dirawat kepada SPAN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di sini, hari ini. Katanya, apabila siap kelak, loji Ngoi-Ngoi dijangka mampu mengeluarkan antara 55 hingga 60 juta gelen air yang dirawat setiap hari, menyamai kapasiti Loji Sungai Terip.

"Apabila kedua-duanya beroperasi, akan terdapat bekalan air antara 100 juta hingga 110 juta gelen sehari bagi menampung keperluan Seremban yang pada waktu ini memerlukan sehingga 70 juta gelen sehari," katanya. - BERNAMA


NGO buat laporan polis SMS fitnah ADUN Sungai Rambai

Posted: 23 May 2012 03:09 AM PDT

Mutakhir

JASIN: Sebanyak 13 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik di Melaka membuat laporan polis berhubung penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai, Datuk Hassan Abdul Rahman.

NGO tersebut termasuk Gerakan Belia 4B cawangan Jasin, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia cawangan Batu Gajah Pasir dan Majlis Gerakan Belia Daerah Jasin membuat laporan itu di Balai Polis Merlimau di sini, petang semalam.

Laporan polis berkenaan dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dalang serta menghentikan penyebaran SMS berunsur hasutan dan perkauman yang mula tersebar semalam. Sementara itu, Hassan berkata SMS itu mendakwa dirinya melakukan tindakan tidak bermoral dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kaum India ketika menghadiri perhimpunan aman menghalang kedatangan Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga, bagi mempromosikan Bersih di Merlimau pada Sabtu lALU.

"Saya tidak pernah melakukan perbuatan tidak bermoral seperti yang disebarkan melalui SMS berkenaan, ia satu fitnah dan pembohongan yang dahsyat yang boleh menjatuhkan reputasi saya sebagai wakil rakyat serta menggugat keharmonian kaum di negara ini," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, perhimpunan tersebut berjalan secara aman dan penyebaran SMS itu adalah taktik pihak tertentu yang mahu menggugat kekuatan kubu Barisan Nasional (BN) di Melaka.

Hassan turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan dua akhbar berbahasa Tamil yang memaparkan isu tersebut dalam halaman utama akhbar mereka semalam. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan