Isnin, 21 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Nasihati pemilik restoran

Posted: 20 May 2012 10:09 AM PDT

SHAH ALAM: Pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan lawatan mengejut semalam untuk memastikan kempen Zon Bersih membabitkan kawasan Seksyen 10 dan 11, di sini, berjaya direalisasikan seperti dirancang.

Kempen itu bukan saja membabitkan kawasan perumahan, malah turut memfokuskan premis makanan seperti restoran dan kedai makan di kawasan terbabit untuk memastikan kebersihan di premis mereka.


Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad bersama beberapa pegawai MBSA turun padang untuk memberikan khidmat nasihat kepada pemilik restoran dan kedai makan di Seksyen 10 dan 11.

"Kami hadir untuk memberikan khidmat nasihat kepada pemilik gerai di kawasan berdekatan supaya sentiasa menjaga kebersihan," katanya.


RM101.5 juta baik pulih PPR

Posted: 20 May 2012 10:08 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan membelanjakan RM101.5 juta untuk membaik pulih Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil audit kerosakan membabitkan 76 kawasan yang dibuat Mac lalu.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kerja membaik pulih itu merangkumi kerja awam sebanyak RM57.6 juta, diikuti mekanikal (RM29.6 juta) dan elektrik (RM14.9 juta).


"Ini susulan aduan dan rungutan daripada penghuni mengenai kerosakan tidak dibaiki, sama ada di luar unit mahupun dalam rumah.

"Justeru, melalui audit kerosakan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti, DBKL yang dibuat serentak berjaya dilaksanakan," katanya ketika berucap pada Program Kehidupan Murni DBKL di PPR Desa Tun Razak, Bandar Tun Razak, di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sosio Ekonomi) DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz dan Pengerusi Persatuan Penduduk, PPR Desa Tun Razak, Anuar Sudin.


Program itu inisiatif DBKL bersama penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan serta swasta.

Objektifnya bagi memberi pendidikan, kesedaran sivik dan perpaduan kepada penghuni perumahan DBKL mengenai tatacara hidup di perumahan DBKL.


Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, kerajaan setuju mewujudkan satu dana khas bagi membantu golongan miskin yang tidak mampu membayar sewa rumah dan mempunyai tunggakan tinggi.

Beliau berkata, dana itu diwujudkan menggunakan 10 peratus hasil jualan Perumahan Awam DBKL/ PPR Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).


"Sehingga 30 April lalu, sebanyak 5,580 rumah dijual membabitkan RM17 juta, bermakna kira-kira RM17 juta boleh diguna untuk bantuan khas ini.


"Berdasarkan semakan dengan e-Kasih, 3,346 penyewa PPR dan perumahan awam DBKL mempunyai tunggakan sewa RM3 juta," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan