Rabu, 30 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pencuri kereta nahas koma

Posted: 29 May 2012 10:18 AM PDT

KAJANG: Seorang lelaki yang disyaki mencuri sebuah kereta utiliti sukan (SUV) di Batu 9, Cheras, di sini, awal pagi kelmarin kini koma selepas kereta dipandu itu terbabit kemalangan di Jalan Cheras.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, SUV dipandu lelaki berusia 30-an terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik menyebabkannya tersepit serta parah di kepala.


Difahamkan, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghantar lelaki terbabit ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan kini koma di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurut sumber, pada masa sama, syarikat kereta yang menerima maklumat dari bank untuk menarik kenderaan berkenaan menghantar dua wakil mereka menjejaki pemilik berdasarkan alamat nombor pendaftaran kenderaan itu.


"Dua wakil syarikat itu yang pergi ke rumah pemilik kereta berkenaan berdasarkan alamat diberikan terperanjat apabila dimaklumkan ahli keluarga kereta itu baru saja dicuri.


"Namun, keluarga pemilik kereta itu belum membuat laporan polis kerana pemiliknya berada di Ipoh atas urusan kerja dan dijangka pulang hari ini (semalam)," katanya.

Sementara itu, seorang wakil syarikat kereta yang dikenali sebagai Kam, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut kejadian itu dan memberitahu kes berkenaan sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.


"Kami hanya menjalankan tugas sebaik menerima aduan mengenai sebuah kenderaan yang terbabit kemalangan dan perlu ditunda.

"Bagaimanapun, kami diberitahu lelaki itu koma menyebabkan usaha menjejaki keluarganya dilakukan bagi meneruskan urusan berkenaan," katanya.


Kam berkata, sebaik menemui keluarga pemilik kenderaan itu, dia terkejut kerana kenderaan itu dilaporkan hilang dan dibawa lari awal pagi iaitu beberapa jam sebelum kemalangan.




Wanita berjaya lolos diri daripada penculik

Posted: 29 May 2012 10:17 AM PDT

PETALING JAYA: Seorang pereka aplikasi telefon pintar bernasib baik selepas berjaya melepaskan diri dalam kejadian samun dan cubaan culik di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah terkenal di Mutiara Damansara, di sini, Ahad lalu.

Dalam satu kenyataan di laman sosial, facebook yang dikeluarkan wanita berusia 20-an itu semalam, dia menyatakan rasa bersyukur kerana berjaya melepaskan diri walaupun berdepan dua lelaki bersenjatakan pisau dalam kejadian jam 5.30 petang itu.


Menceritakan semula kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Chin berkata, dia yang baru selesai membeli-belah seorang diri meletakkan barangan dibelinya dalam kereta milik teman lelakinya apabila didatangi seorang lelaki meletakkan pisau di leher dan menutup mulutnya.

"Saya menunggu masa sesuai untuk membuka pintu sebelum melompat keluar. Lelaki yang duduk di sebelah saya berjaya menarik saya masuk ke dalam semula.


"Bagaimanapun, pintu kereta yang terbuka memberikan saya peluang untuk terus keluar sambil bergelut dengan lelaki terbabit.


"Ketika itu, saya terdengar jeritan pemandu supaya rakannya itu melepaskan saya dan membiarkan saya melarikan diri," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan