Berita Harian: Nasional |
3.3 juta peluang kerja diwujud Posted: 19 May 2012 04:28 PM PDT Nasional MUHYIDDIN menurunkan tandatangan pada kenderaan Eimarace hasil rekacipta pelajar pusat mekanikal IKBN Pagoh selepas merasmikan Karnival Kerjaya 2012 di institut itu, semalam. PAGOH: Sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan baru akan diwujudkan dalam tempoh lapan tahun bagi memenuhi keperluan 12 sektor industri di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) termasuk minyak dan gas. Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta belia di negara ini melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan pengalaman bagi merebut peluang berkenaan. "Kerajaan sekarang dalam peringkat agak penting kerana kita sedang melaksanakan usaha besar untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020."Perkara utama untuk mencapai matlamat itu ialah menjana modal insan dengan kemahiran dan pengalaman supaya sektor ekonomi berkembang pesat dan peluang pekerjaan dapat dipenuhi," katanya berucap merasmikan Karnival Kerjaya 2012 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), dekat sini, semalam. Katanya, dalam tempoh lapan tahun ini, banyak peluang pekerjaan baru disediakan kerajaan dan belia perlu ada kemahiran yang sesuai bagi membolehkan pekerjaan itu diisi. "Saya percaya sebahagian besar golongan muda amat memahaminya dan ia juga untuk generasi akan datang, Barisan Nasional (BN) sudah menyediakan semua peluang untuk kita menjadi negara maju, kita berikan secara percuma seperti IKBN ini," katanya. "Pengangguran di negara ini adalah pada tahap dua peratus saja, jika mengikut taraf antarabangsa, ia dikira sebagai full employement," katanya. |
Bond ajak usahawan AS labur di KL Posted: 19 May 2012 04:27 PM PDT Nasional Keamanan Malaysia jadi tarikanNEW YORK: Bekas Senator Missouri Amerika Syarikat (AS), Christopher Samuel 'Kit' Bond, yakin Malaysia adalah lokasi yang baik untuk pelabur AS menjalankan perniagaan. Sambil menyifatkan Malaysia sebagai negara yang aman, Bond, yang berkhidmat selama dua penggal sebagai Gabenor Missouri dari 1973 hingga 1977 dari 1981 hingga 1985, menolak tanggapan bahawa protes 'kebangkitan revolusi' (Arab Spring) boleh berlaku di Malaysia, sekali gus menakutkan pelabur. "Oh! Dengar! Semua orang bimbang terhadap kebangkitan revolusi dan tujuannya, namun Malaysia ialah negara yang aman!" katanya kepada wartawan Malaysia yang menemubualnya selepas beliau bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini.Najib yang melakukan lawatan kerja ke New York dari Rabu hingga Jumaat, mempengerusikan Mesyuarat Kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC), serta bertemu pemimpin syarikat Fortune 500, di sini. "Mereka (Malaysia) mengamalkan demokrasi, mereka mempunyai hak asasi manusia, mereka mempunyai perusahaan bebas di sana. Oleh itu, tidak timbul persoalan terhadap Malaysia, dan ia adalah lokasi yang baik untuk menjalankan perniagaan," katanya. Bond, rakan di Thompson Coburn, firma pembangunan dan perundingan perniagaan yang diketuainya, yang mempunyai pejabat di Missouri dan Washington berkata, beliau memberitahu rakyat AS mengapa Malaysia sebagai tempat yang baik untuk menjalankan perniagaan. "Seratus dua puluh perniagaan mahu datang dan berada di Malaysia untuk menjalin usaha sama, dan kami mempunyai universiti yang mahu datang dan bekerja bersama-sama universiti dan institusi pengajian tinggi di Malaysia," katanya. Ditanya tujuannya menemui Najib, Bond berkata, beliau menemui seorang rakan. "Kami mempunyai peluang hebat untuk menjadi orang yang baik, pergi ke tempat menarik dan membuat kawan dan kawan... itulah perkara yang anda tidak boleh lepaskan. "Hebat... ia sesuatu yang baik dapat menemui Perdana Menteri. Saya bangga menyambut beliau di sini dan mengetahui apa yang berlaku di Malaysia. "Saya memberitahu beliau serba sedikit apa yang kami lakukan di Missouri," katanya. Ditanya sama ada beliau ada bertanyakan soalan khusus kepada Perdana Menteri, sambil berseloroh Bond berkata: "Saya bertanya Perdana Menteri bila pilihan raya (Malaysia) akan berlangsung memandangkan JJ (Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis) memberitahu saya beliau tidak mengetahuinya dan meminta saya bertanya sendiri, namun tidak mendapat jawapan daripada Perdana Menteri." Bond, 73, ahli Parti Republikan, dipilih sebagai Senator AS pada 1986 dan dipilih semula pada 1992, 1998 dan 2004. Pada 8 Januari 2009, beliau mengumumkan tidak bertanding semula buat penggal kelima pada 2010 dan digantikan Senator Roy Blunt pada 3 Januari 2011. – BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan