Kosmo Online |
- 39 warga asing, 5 kanak-kanak ditahan Imigresen
- Vandalisme: Pili bomba di Putrajaya banyak rosak
- Bekas peguam didakwa tipu ahli perniagaan
39 warga asing, 5 kanak-kanak ditahan Imigresen Posted: 39 warga asing, 5 kanak-kanak ditahan Imigresen17/05/2012 7:29pm MELAKA - Jabatan Imigresen Melaka menahan 39 warga asing termasuk lima kanak-kanak dalam "Operasi Pintu ke Pintu" melibatkan empat taman perumahan di sekitar negeri ini bermula malam tadi hingga awal pagi ini. Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga India, 10 lelaki dan 15 wanita warga Indonesia, lapan lelaki warga Nepal serta dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan warga Indonesia. Beliau berkata, mereka yang berusia antara dua hingga 52 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di 13 rumah di Taman Merdeka, Taman Cheng Ria, Bukit Serindit dan Tangga Batu antara jam 10 malam tadi hingga 6 pagi tadi. "Di Taman Cheng Ria seorang lelaki Indonesia berusia lingkungan 35 tahun cuba melarikan diri melalui tingkap di sebuah apartmen di tingkat empat namun tidak berjaya. "Lelaki tersebut bergayut pada dawai ampaian di tingkap tersebut hampir dua minit dan nyaris jatuh sebelum ditarik oleh pegawai imigresen," katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh di sini. - BERNAMA |
Vandalisme: Pili bomba di Putrajaya banyak rosak Posted: Vandalisme: Pili bomba di Putrajaya banyak rosak17/05/2012 7:11pm PUTRAJAYA - Lapan puluh peratus pili bomba di Putrajaya rosak, akibat perbuatan vandalisme yang mengakibatkan perbelanjaan RM49,000 untuk kos baik pulih, sepanjang tahun lepas. Pengarah Bomba Putrajaya, Md. Hilman Abd Rashid berkata, untuk tahun ini, setakat ini sebanyak RM20,000 dibelanjakan, bagi tujuan sama. "Jadi saya berharap lebih ramai penduduk sekitar Putrajaya menyertai Program Teman Pili Bomba terutama mereka yang tinggal berhampiran pili bomba," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Bomba Bersama Masyarakat di sini hari ini. Majlis itu disempurnakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang juga ahli Parlimen Putrajaya. Md. Hilman berkata, usaha itu juga dapat membantu pihak bomba mengurangkan kerosakan pili bomba sekaligus mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan. Setakat ini, terdapat 1,275 pili bomba sekitar Putrajaya dan seramai 142 orang menyertai program teman pili bomba. - BERNAMA |
Bekas peguam didakwa tipu ahli perniagaan Posted: Bekas peguam didakwa tipu ahli perniagaan17/05/2012 6:09pm PETALING JAYA - Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berjumlah RM294,000. K. Sasi Kumar, 40, didakwa menipu Chen Tin Gan, 61, dengan memperdaya ahli perniagaan itu untuk mempercayai bahawa tertuduh telah membayar bagi pihak Tin Gan notis taksiran duti setem sebanyak RM294,000 melalui cek, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri cawangan Kuala Lumpur. Ini mendorong Tin Gan untuk menyerahkan wang RM294,000 dengan mendepositkannya ke akaun milik tertuduh sebagai bayaran pindah milik hartanah. Sasi Kumar didakwa melakukan kesalahan itu di Malaysian Kopitiam, No.24G, Jalan PJS 11/28, Bandar Sunway, Petaling Jaya, pada 9 November 2006 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Hakim Rozina Ayob membenarkan Sasi Kumar diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan jaminan. Mahkamah menetapkan 18 Jun untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazi Amir Johari manakala Sasi Kumar diwakili peguam Salim Bashir. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan