Selasa, 29 Mei 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kerajaan tanggung 90 peratus kos pelajar IPTA

Posted: 28 May 2012 04:24 AM PDT

Mutakhir

PETALING JAYA: Sebanyak 90 peratus kos pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebenarnya ditanggung kerajaan, maka itu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dianggap hanya untuk tanggung kos sara hidup pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata, PTPTN hanya menanggung baki kos pengajian yang kecil, kira-kira 10 peratus daripada kos keseluruhan pengajian di IPTA.

"Tidak seperti negara-negara lain, kerajaan (Malaysia) bagi pinjaman kepada mahasiswa untuk menanggung kos sara hidup, setakat ini tidak ada mana-mana negara yang memberi pinjaman sara hidup kepada mahasiswa dengan jumlah yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek pembangunan Pusat Kecemerlangan Industri Pemborongan dan Peruncitan (ICoE) di sini, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemansuhan satu peratus ujrah pinjaman PTPTN yang diutarakan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli dalam sesi pendebatan dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai 'Pemansuhan PTPTN & Hala Tuju Pendidikan Tinggi' yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani dan Bernama Radio24 , Selasa lalu. - BERNAMA

Mahkamah tolak permohonan Kayveas, isteri supaya diberi masa merayu

Posted: 28 May 2012 04:20 AM PDT

Mutakhir

PUTRAJAYA: Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk Seri M Kayveas dan isteri, Datin Seri Blanche O'Leary perlu mengembalikan RM470,000 kepada sebuah syarikat kontraktor selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan mereka bagi lanjutan masa untuk memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua tahun lepas.

Dalam satu keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali juga memerintahkan kos RM3,000 dibayar kepada responden.

Dua lagi hakim ialah Datuk Balia Yusof Wahi dan Datuk Aziah Ali. Pada prosiding hari ini, peguam Murali Menon, bagi pihak Kayveas dan Blanche, berhujah bahawa mahkamah perlu membenarkan anak guamnya merayu di luar jangka waktu terutamanya disebabkan tiada tindakan atau kecuaian peguam cara sebelumnya untuk memfail rayuan dalam masa ditetapkan.

Dengan keputusan hari ini, Kayveas, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan isteri dikehendaki membayar jumlah terbabit kepada Peninsular Concord Sdn Bhd sebagaimana diperintahkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Harminder Singh pada 28 Julai, 2010.

Harminder dalam keputusannya juga menolak tuntutan balas oleh kedua-dua defendan terhadap syarikat itu.

Kedua-dua Kayveas dan Blanche bertindak sebagai "pemegang kepentingan" dalam usaha syarikat itu mendapatkan kerja bina jalan dalam sebuah projek.
Murali juga memberitahu panel bahawa nota prosiding dan asas penghakiman Mahkamah Tinggi tidak disediakan oleh mahkamah.

"Anak guam saya tidak harus menderita hanya kerana kesilapan peguam cara" hujah Murali.

Peguam L P Leong, yang bertindak bagi pihak kontraktor, berhujah bahawa permohonan itu wajar ditolak atas alasan pemohon gagal mengemukakan penjelasan munasabah atas kelewatan itu.

Beliau berkata asas penghakiman telah dilaporkan dalam kedua-dua jernal undang-undang MLJ dan CLJ pada lewat 2010, sementara tarikh akhir memfail rayuan ialah 14 Ogos 2010. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan