Jumaat, 25 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kanak-kanak dua tahun alami kesan gigitan, luka dipercayai didera ibu bapa

Posted: 25 May 2012 06:31 AM PDT

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami kesan gigitan dan luka di seluruh badannya dipercayai akibat didera ibu bapa kandungnya di rumah mereka di Chui Chak, Langkap dekat sini.

Kanak-kanak malang itu dibawa ke klinik apabila bapa mangsa mendapati anaknya mengalami keguguran rambut, dan apabila diperiksa kanak-kanak berkenaan mempunyai kesan lebam, luka dan gigitan di seluruh badannya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie yang melawat mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini berkata kanak-kanak itu kemudiannya dimasukkan ke hospital berkenaan pada 19 Mei lepas untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

"Pada tubuh kanak-kanak itu ada luka lama dan baru...ibu saudaranya selama ini tidak perasan kesan luka berkenaan kerana kanak-kanak itu selalu dipakaikan baju berlengan panjang, seluar panjang. Ini dipercayai dilakukan supaya orang lain tidak sedar kesan luka itu," katanya kepada pemberita di HRPB hari ini.


Beliau berkata sebelum itu, ibu terbabit yang merupakan warga Vietnam cuba menahan suaminya daripada membawa kanak-kanak itu ke klinik bagaimanapun si suami tetap bertegas.


Ibu dan bapa kandung mangsa yang berkahwin melalui ejen mencari jodoh, tinggal bersama kanak-kanak malang itu serta anak sulung berusia tiga tahun, katanya.

Heng berkata anak sulung lelaki mereka turut dibawa ke HRPB pada 20 Mei untuk diperiksa dan pihak hospital mendapati tiada kesan deraan pada fizikalnya.

"Pihak HRPB telah memberi rawatan, pemeriksaan kesihatan dan perlindungan kepada kedua-dua kanak-kanak itu...kanak-kanak itu kini sedang sembuh dan keadaannya adalah baik...siasatan mengenai kes itu juga sedang dijalankan oleh pihak polis," katanya.- Bernama


Piala Sultan Azlan Shah: Dua jaringan Faizal bantu Malaysia seri 3-3 dengan Great Britain

Posted: 25 May 2012 06:23 AM PDT

IPOH: Dua jaringan oleh Faizal Saari pada tempoh lima minit sebelum tamat perlawanan telah membantu Malaysia seri 3-3 dengan Great Britain pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2012 di sini, malam ini.

Faizal berjaya mencuri ruang untuk menyumbat dua gol dalam tempoh dua minit iaitu pada minit ke-67 dan 68, untuk membantu pasukan tuan rumah mengekalkan rekod tanpa kalah dengan dua perlawanan seri setakat ini.

Great Britain, tuan rumah Sukan Olimpik 2012, memulakan aksi kejohanan dengan jaringan seawal minit kelima menerusi Glenn Kirkham selepas berlaku pergelutan di hadapan pintu gol Malaysia.

Bagaimanapun, dengan sokongan padu 3,000 penonton tempatan, Malaysia bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi gerakan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Azlan Misron pada minit ke-10.


Great Britain menggandakan asakan sehingga memaksa benteng pertahanan negara kucar-kacir sebelum berjaya menjaringkan gol menerusi Ashley Jackson pada minit ke-20 dan dikuti Rob Moore, lima minit kemudian.


Great Britain mendahului 3-1 sehingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, skuad negara memulakan asakan sebaik bermula perlawanan dan memperolehi pukulan sudut penalti tiga minit selepas itu tetapi gerakan set piece yang dirancang berjaya dibaca penjaga gol lawan yang menolak keluar bola.

Great Britain, yang menduduki ranking keempat dunia, turut melakukan serangan bertali arus bagi mencari tambahan gol tetapi berjaya dihalang barisan pertahanan negara.

Sementara itu, Faizal Saari yang ditemui selepas perlawanan berkata, beliau telah diarahkan kapten pasukan, Mohamad Syukri Mutalib supaya menggandakan asakan bagi mencari gol.

"Bermula dari itu, dalam perlawanan berbaki lima minit, kami di bahagian serangan menggandakan asakan dan mencari gol...dan saya bersyukur kerana dapat menjaringkan dua gol di dalam perlawanan ini.

"Jaringan tersebut adalah yang terbaik dalam karier saya sebagai pemain negara dan akan mencuba lebih baik di dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Jurulatih Tai Beng Hai menyifatkan keputusan itu adalah terbaik memandangkan pasukan lawan itu ternyata lebih gagah dan yakin.

Semalam, Malaysia seri 1-1 dengan Korea Selatan. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan