Sabtu, 19 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Dia bukan ulat tiket’

Posted: 18 May 2012 11:12 AM PDT

KUALA LUMPUR: Beberapa 'ulat tiket' yang memujuk orang ramai membeli tiket bas daripada mereka di Pudu Sentral, di sini, bertempiaran lari apabila pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjalankan operasi membanteras aktiviti mereka, petang semalam.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa itu, ramai ulat tiket melarikan diri mengelak ditahan, namun lima daripada mereka berusia 20-an hingga 30-an ditahan dan pemeriksaan menemui beberapa tiket yang dipercayai untuk dijual kepada pengguna.


Malah, dalam operasi bermula jam 5 petang itu, berlaku insiden seorang lelaki warga emas tidak puas hati dan memarahi pegawai dan anggota bertugas ekoran mendakwa anak lelakinya berusia 20-an yang ditahan bukan ulat tiket.

Namun, lelaki itu kembali tenang apabila diberi penerangan mengenai operasi itu dan kelima-lima yang ditahan termasuk seorang wanita dibawa ke Balai Polis Tun H S Lee, di sini, untuk siasatan lanjut.


Ketua Penguat kuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi itu dijalankan bagi membasmi aktiviti haram ulat tiket.


"Kami hanya boleh mengekang dengan melaksana operasi penguatkuasaan secara berterusan, tetapi itu tidak langsung boleh membasmi kegiatan ini kerana selagi ada permintaan daripada penumpang, maka ulat terus menawarkan tiket untuk mereka.

"Semua orang perlu hormat undang-undang dan kami menjalankan tugas demi untuk kepentingan pengguna serta memastikan keselamatan dan mencegah daripada berlaku penipuan pembelian tiket," katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, operasi penguatkuasaan yang berakhir jam 10 malam itu dilakukan dalam dua fasa iaitu fasa pertama operasi tangkapan ulat dan fasa kedua pemeriksaan di kaunter tiket dan bas.

Katanya, pemeriksaan di kaunter penjualan tiket terbabit dilakukan untuk memastikan lebih 40 syarikat bas yang membuka kaunter di situ melaksanakan penjualan sendiri dan tidak menggunakan ejen tidak mempunyai lesen.


Malah, beliau memberitahu mana-mana pengusaha bas yang melanggar syarat, SPAD tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.




Ikhlas kesal peniaga asing monopoli lot niaga

Posted: 18 May 2012 11:09 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil Bumiputera Malaysia (Ikhlas) kesal dengan kebanjiran peniaga asing yang memonopoli pusat beli-belah Jalan Tuanku Abdul Rahman (Tar), seolah-olah menyekat peluang peniaga Bumiputera untuk menjalankan perniagaan di situ.

Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya mendapati 80 peratus daripada keseluruhan lot niaga di situ dikuasai peniaga asing, termasuk dari Pakistan, Indonesia, Bangladesh, India dan beberapa peniaga dari rantau Asia Tenggara.


"Pusat beli-belah di Jalan Tar antara aduan yang paling banyak diterima membabitkan pekerja asing sehingga membabitkan persaingan di kalangan warga tempatan.

"Sepatutnya pengendali pusat perniagaan terbabit memberi peluang sama rata kepada peniaga Bumiputera untuk menjalankan perniagaan di situ kerana pusat itu dikunjungi ramai pengunjung tempatan," katanya ketika dihubungi.


Ridzuan mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai lambakan warga asing di Jalan Tar dan Jalan Masjid India yang memonopoli perniagaan di kawasan berkenaan sehingga melenyapkan identiti kawasan yang menjadi syurga beli-belah yang menawarkan pelbagai barangan tempatan dengan harga murah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan