Khamis, 24 Mei 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Peniaga disamun 5 lelaki bertopeng

Posted:

Peniaga disamun 5 lelaki bertopeng

Peniaga disamun 5 lelaki bertopeng

24/05/2012 8:15pm

SITIAWAN - Sepasang suami isteri yang merupakan peniaga kerugian RM25,000 akibat disamun sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang dan bertopeng sebaik tiba di rumah mereka di Taman Bakti dekat sini hari ini selepas mengeluarkan wang daripada sebuah bank berdekatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Supritendan Ahmad Mat Isa berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari di hadapan pagar rumah pasangan yang berusia 53 tahun itu.

Katanya, sebaik kereta yang dinaiki pasangan itu tiba di hadapan pagar rumah, mereka didatangi lima lelaki bertopeng bersenjatakan parang dan 'crowbar' yang terus merampas wang berkenaan dari poket seluar si suami.

"Suspek turut memukul paha kanan mangsa dengan 'crowbar' sehingga menyebabkan kecederaan. Kesemua suspek yang masing-masing menaiki dua kereta berwarna putih jenis Toyota Altis dan Camry itu dipercayai telah mengekori mangsa dari bank yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumah pasangan terbabit," katanya.

Beliau berkata, isteri peniaga yang berada di dalam kereta ketika itu tidak mampu berbuat apa-apa kerana ketakutan dan keadaan kawasan kediaman mangsa agak terpencil.

Katanya lagi, polis telah memulakan gerakan memburu kesemua penjenayah terbabit sebaik sahaja menerima laporan berkenaan. - BERNAMA

4 lelaki rompak kereta syarikat pengurup

Posted:

4 lelaki rompak kereta syarikat pengurup

4 lelaki rompak kereta syarikat pengurup

24/05/2012 8:10pm

JOHOR BAHRU - Sebuah kenderaan membawa wang milik sebuah syarikat pengurup dirompak empat lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Jalan Serampang, Taman Pelangi di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.30 petang di belakang pejabat Utusan Melayu (M) Berhad Cawangan Johor sejurus kereta Toyota Alphard yang membawa empat beg berisi wang bergerak kira-kira 30 meter dari premis pengurup wang tersebut.

"Suspek yang menaiki kereta Proton Waja dan Perdana telah bertindak menghalang kenderaan mangsa sebelum mengacukan parang dan merampas kesemua beg tersebut.

"Suspek kemudian meninggalkan kereta Perdana itu dan melarikan diri bersama kereta Waja," katanya.

Zainuddin berkata, dua mangsa yang menaiki Toyota Alphard cuba bertindak mengejar kereta Waja terbabit menuju ke Jalan Tekun, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian, bagaimanapun kenderaan mangsa terbabas dan terbalik akibat gagal dikawal.

Beliau berkata, keempat-empat suspek berumur dalam lingkungan 40-an itu kemudian meninggalkan kereta Waja yang dinaiki lalu melarikan diri bersama dua kenderaan lain.

Menurut Zainuddin, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan - BERNAMA

3 termasuk kanak-kanak maut kemalangan

Posted:

3 termasuk kanak-kanak maut kemalangan

3 termasuk kanak-kanak maut kemalangan

24/05/2012 7:57pm

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut bersama ibu dan ibu saudaranya dalam kemalangan di KM70, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, Sharmila Jumadi, 2, ibunya Marlisa Mansor, 25, serta ibu saudaranya, Maryana Mansor, 22, meninggal dunia di tempat kejadian manakala kakaknya Sofea Balqis Jumadi, 4, cedera parah.

"Kemalangan berlaku berhampiran Ladang Tabung Haji pada kira-kira pukul 10.15 pagi tadi apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu Marlisa dari arah bandar Kluang menuju ke arah Bandar Tenggara cuba memotong sebuah kereta Toyota Hilux di depannya.

"Dipercayai pemandunya gagal memotong kenderaan terbabit lalu berlanggar dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan sebelum Perodua Kancil itu berpusing dan kemudiannya dilanggar oleh Toyota Hilux yang tidak sempat mengelak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Majid berkata, pemandu lori yang berumur 29 tahun dan pemandu Toyota Hilux yang berumur 40 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kes kemalangan maut itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kluang untuk bedah siasat manakala Sofea Balqis dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA)di sini untuk rawatan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan