Selasa, 29 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Syed Zainal Abidin, Azhar Othman tinggalkan Proton

Posted: 29 May 2012 04:48 AM PDT

PROTON Holdings Berhad (Proton) mengumumkan peletakan jawatan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Proton berkuatkuasa 4 Julai 2012 selepas berkhidmat lebih enam tahun dengan syarikat pengeluar kereta nasional pertama negara.

"Beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Proton diatas kehendak sendiri untuk meneruskan minatnya dan kami menghormati keputusannya serta amat menghargai sumbangan besarnya kepada syarikat selama ini," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Proton dalam masa sama mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Kewangannya, Azhar Othman berkuatkuasa 6 Julai 2012.

Susulan pengunduran Syed Zainal, Pengerusi Eksekutif Proton Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, akan meneruskan kepimpinannya untuk menerajui Proton menuju ke hadapan.




Kaspersky Lab, ITU temui ancaman siber baru yang lebih licik

Posted: 29 May 2012 04:31 AM PDT

PETALING JAYA: Kaspersky Lab mengesan satu program virus berniat jahat yang sangat licik, Worm.Win32.Flame, yang kini digunakan secara aktif sebagai senjata siber yang mengancam entiti di beberapa negara.

Worm.Win32.Flame boleh mencuri maklumat penting, termasuk tetapi tidak terhad kepada kandungan paparan komputer, maklumat mengenai sistem sasaran, fail yang disimpan, data hubungan, malah perbualan audio, kata syarikat antivirus berkenaan.

"Perisian perosak itu ditemui oleh pakar Kaspersky Lab semasa siasatan yang dimulakan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU)," katanya dalam satu kenyataan.

ITU ialah agensi utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi teknologi komunikasi dan maklumat.


Kajian awal mendapati perisian perosak yang dikenali sebagai Flame sudah muncul lebih dua tahun lepas - sejak Mac 2010.


Berdasarkan kedudukannya yang sangat kompleks, selain bentuk sasaran serangan, tiada perisian keselamatan yang dapat mengesannya.

Kaspersky Lab berkata pakar-pakarnya kini menjalankan analisis mendalam ke atas Flame.

"Dalam tempoh beberapa hari siri catatan blog akan mendedahkan lebih banyak maklumat ancaman baharu itu apabila ia didedahkan," katanya.

Sementara itu, ITU akan menggunakan rangkaian Rakan Usaha Sama Multilateral Menentang Ancaman Siber (IMPACT) yang melibatkan 142 negara dan beberapa penggiat industri, termasuk Kaspersky Lab, bagi memberi amaran kepada kerajaan dan komuniti teknikal mengenai ancaman siber ini dan menyegerakan analisis teknikal. - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan