Selasa, 22 Mei 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kaji kesan krisis zon euro ke atas ekonomi Malaysia: Ahmad Husni

Posted: 22 May 2012 02:36 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, menyarankan supaya diadakan satu kajian mengenai kesan krisis hutang zon eropah ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Beliau berkata, perkembangan ketika dunia memerlukan kajian.

"Meskipun pertumbuhan ekonomi empat hingga lima peratus diramalkan bagi tahun ini, namun kadar itu masih kukuh memandangkan krisis ekonomi yang berlaku di dunia pada masa ini. "Kita masih menumpukan sasaran kita pada lima peratus tahun ini," katanya ketika upacara menandatangani memorandum persefahaman antara MIMOS Bhd dan REDtone Telecommunications Sdn Bhd.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus hingga tujuh peratus yang dibuat sebelum ini sukar dicapai.

Ahmad Husni berkata, meskipun kelembapan pertumbuhan ekonomi di China akan menjejaskan perdagangan, namun kita bernasib baik kerana kita berdagang dengan negara-negara lain.

Lima tahun dulu, katanya, Amerika Syarikat adalah rakan dagang utama kita, tetapi kita telah mengalihkan perdagangan kita ke Asia.
Beliau juga menegaskan tentang perlunya Malaysia meningkatkan inovasi dan kreativitinya.

"Perbelanjaan R&D sebagai satu peratusan KDNK adalah kurang daripada satu peratus. Bagaimanapun, di negara-negara maju, R&D merupakan kira-kira empat hingga lima peratus KDNK," katanya. - BERNAMA


Mahkamah perintah Kayveas bayar RM170,000 kepada CTOS

Posted: 22 May 2012 02:17 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri M Kayveas, membayar RM170,000 kepada syarikat rujukan kredit Credit Tip Off Sdn Bhd (CTOS) dan tiga lagi kerana memfitnah.

Hakim Rosilah Yop memutuskan bahawa pihak plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap Kayveas dan memerintahkan Kayveas membayar ganti rugi am sebanyak RM120,000 serta ganti rugi teladan sebanyak RM50,000.

Kayveas juga perlu membayar faedah atas kadar 4 peratus setahun mulai 25 Jun 2007 sehingga hari ini dan selepas itu atas kadar 8 peratus setahun sehingga selesai pembayaran serta membayar kos pada plaintif. CTOS mendakwa Kayveas mengeluarkan perkataan fitnah berkenaan di antara Jun dan Julai berhubung tindakan syarikat itu mengumpul maklumat status keberhutangan.

Dalam penghakimannya, Rosilah berkata Kayveas gagal membuktikan pembelaannya dan telah menyebabkan plaintif mengalami kerugian dan plaintif berhak diberi ganti rugi.

"Dengan penyebaran perkataan fitnah tersebut, reputasi dan nama baik perniagaan plaintif terjejas. Terdapat pelanggan plaintif menamatkan perkhidmatan mereka dengan plaintif," katanya.

Rosilah berkata, perkataan fitnah itu disebarkan menerusi akhbar dan televisyen dan Kayveas terus-menerus mengeluarkan perkataan fitnah itu sebanyak 13 kali.
"Mahkamah memberikan ganti rugi (teladan) sebanyak RM50,000. Saya mengambil kira keperluan untuk memberikan pampasan bagi kemudaratan yang dilakukan kepada reputasi. Saya juga mengambil kira penerbitan yang dibuat ke atas perkataan fitnah itu secara meluas melalui beberapa akhbar.

"Defendan (Kayveas) terus mengeluarkan perkataan fitnah walaupun beliau tahu notis tuntutan diberikan pada beliau. Plaintif menanggung kesan dalam fikiran. Untuk ini saya memberikan sebanyak RM120,000 sebagai ganti rugi am yang saya berpendapat munasabah dan berpatutan," katanya.

Rosilah berkata, keputusannya menetapkan jumlah ganti rugi teladan adalah berdasarkan kedudukan Kayveas sebagai Timbalan Menteri (ketika kejadian) yang diberi mandat oleh rakyat dan tidak seharusnya sewenang-wenang mengeluarkan perkataan fitnah tanpa mengambil kira kebenarannya yang boleh mengakibatkan plaintif menanggung malu.

Pada September 2007, CTOS bersama CTOS Data Systems Sdn Bhd, CTOS-EMR Sendirian Berhad dan CTOS Business Systems Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Kayveas atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan di akhbar-akhbar tempatan antara 25 Jun 2007 dan 15 Julai 2007.

CTOS memohon ganti rugi am, teladan, teruk, kos, dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan pembelaannya, Kayveas berkata kenyataan itu adalah laporan saksama dan tepat dalam kapasitinya pada masa itu sebagai Timbalan Menteri berdasarkan situasi semasa untuk pengetahuan umum. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan